Pejabat pengurusan perumahan berstrata diminta segera mohon CIMS 3.0

Admin
JAGDEEP Singh Deo (depan, tiga dari kiri) diiringi R.S.N. Rayer (depan, kanan sekali) turut menyerahkan pek bantuan makanan kepada penduduk terpilih di Tampin Court dekat KADUN Datuk Keramat di sini pada pagi ini.

DATUK KERAMAT – Kesemua 2,847 skim perumahan berstrata di negeri ini diminta segera membuat permohonan fasa ketiga Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS 3.0) demi mendapatkan kelulusan pengoperasi pejabat pengurusan di kawasan perumahan masing-masing semasa tempoh ‘full lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa permohonan berkaitan boleh dibuat menerusi Suruhanjaya Banguan (COB) bagi kawasan seliaan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

“Takkan pejabat nak tutup (semasa tempoh ‘full lockdown’…jadi macam mana kalian nak laksanakan pengurusan di kediaman berstrata masing-masing, ini isu yang dibincangkan sejak tahun lalu lagi.

“Mereka (badan pengurusan bersama serta perbandanan pengurusan bagi semua jenis kediaman berstrata) perlu mohon daripada Kementerian (Perdagangan Antarabangsa dan Industri, MITI) untuk mendapatkan kelulusan peroperasi.

“Justeru, semua skim perumahan berstrata diharap tampil ke hadapan (untuk membuat) permohonan CIMS 3.0 melalui COB,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat dekat Tampin Court di sini pada 26 Jun 2021.

Sebelum pada itu, Jagdeep diiringi Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Pengarah Pesuruhjaya Bangunan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Sr. Nik Ariff Long Dir; dan beberapa wakil Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) mengadakan operasi pemeriksaan mengejut di kawasan perumahan berstrata di sini.

Beliau menjelaskan bahawa sehingga kini Kerajaan Negeri menerusi Tabung Penyelenggeraan Maksimum 80% Pulau Pinang (TPM80PP) telahpun membelanjakan kira-kira RM276 juta untuk kerja membaik pulih kemudahan pada pelbagai jenis rumah pangsa di negeri ini.

Selain itu, beliau turut mengumumkan kelulusan permohonan TPM80PP oleh persatuan penduduk Tampin Court sebelum ini bagi projek menaik taraf tangki air yang telah rosak di taman perumahan berstrata tersebut.

“Untuk projek ini (yang bernilai keseluruhan) RM85,300 di mana 60 peratus akan dibiayai Kerajaan Negeri sementara baki (40 peratus lagi) akan dibiayai oleh persatuan penduduk.

“Cuba bayangkan apabila projek seumpama ini dapat diteruskan, berapa ramai pihak dapat kita bantu daripada sudut ekonomi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa ketika ini LPNPP menerima sejumlah 283 permohonan daripada pelbagai skim perumahan yang ada serta layan di negeri ini, dengan merangkumi 479 kerja-kerja penyelenggaraan berkaitan.

“Salah satu daripada kerja-kerja penyelenggaraan perumahan adalah ini lah (iaitu projek penarafan tangki air Tampin Court).

“Kita (Kerajaan Negeri menerusi LPNPP) akan meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan kerana kita perlu memberikan bantuan kepada (pihak pemohon) yang memang memerlukan bantuan kita,” jelasnya sambil menyatakan bahawa perkara itu adalah komitmen MMK Perumahan Negeri.

Oleh : ZAINULAFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN