PEKA mahu program pemberdayaan anak muda diteruskan demi bangunkan generasi masa hadapan

JAWI – Penggerak Komuniti Muda (PEKA) tekad untuk meneruskan penganjuran program-program bersifat pemberdayaan dan pemerkasaan khasnya kepada anak-anak muda dalam membangunkan generasi masa hadapan yang mampu bersaing dan mempunyai kapasiti kepimpinan yang tinggi.

Pengarah Eksekutif PEKA, Joshua Woo Sze Zeng berkata, realiti masa kini menunjukkan golongan muda agak sukar merebut peluang yang ada sama ada dari segi pekerjaan mahupun peniagaan.

Oleh itu, beliau bersama-sama ahli PEKA mengambil inisiatif mengadakan bengkel yang bertujuan membantu golongan muda khasnya mereka yang masih dibangku sekolah untuk merancang hala tuju masa hadapan.

“Buat julung kali, PEKA menganjurkan Bengkel Berdaya Anak Muda untuk pelajar sekolah yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membantu mereka merancang masa hadapan selepas ini.

“Inisiatif ini adalah sebahagian visi PEKA yang mahu membangunkan dan memberdayakan anak-anak muda di Pulau Pinang bukan sahaja untuk masa hadapan negara tetapi juga menjadi harapan komuniti setempat dan keluarga,” ujarnya ketika berucap pada bengkel berkaitan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Syeikh Abdullah Fahim dekat Permatang Tok Mahat dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama, Guru Kanan Kemanusiaan SMKA Syeikh Abdullah Fahim, Usta Azrolhadi Khamis selaku tuan rumah bengkel berkaitan.

Mengulas lanjur, Sze Zeng berkata, generasi muda masa muda kini mempunyai tanggungjawab dalam membangunkan negara.

“Kita perlu penuhi tanggungjawab kita dan tidak boleh lari daripada tanggungjawab tersebut.

“Kita juga tidak boleh membazirkan masa, bakat dan kapasiti yang dikurniakan kepada kita tambahan pula dengan keadaan ekonomi dan pasaran kerja yang tidak menentu kini,” katanya.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memerlukan penglibatan semua pihak termasuk pihak sekolah, Kerajaan Pusat, Penang Skills Development Center (PSDC), Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara dan Jabatan Pendidikan Negeri serta institusi berkaitan untuk terus membimbing anak muda mengharungi masa hadapan.

Dalam majlis sama, Sze Zeng turut berkongsi pengalaman beliau bertemu dengan graduan bidang kritikal yang masih terumbang-ambing mencari kerja meskipun setelah tamat pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

Kira-kira 150 pelajar SMKA Syeikh Abdullah Fahim, Madrasah Irsyad Asyraf Wataniah dan Sekolah Menengah (SM) Islam Ad-Diniah mengambil bahagian dalam bengkel yang dianjurkan oleh PEKA di sini.

 

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN

Gambar: PEKA