PEKA: Sertai ‘Tuisyen Rakyat’ percuma, siap sedia hadapi peperiksaan akhir

Admin

GEORGE TOWN – Pengarah Eksekutif Penggerak Komuniti Muda (PEKA), Joshua Woo Sze Zeng berharap ibu bapa tidak melepaskan peluang menghantar anak-anak menyertai program Tuisyen Rakyat yang disediakan oleh Kerajaan Negeri, memandangkan tinggal empat bulan lagi sebelum menghadapi peperiksaan akhir tahun ini.

“Terdapat 34 kelas dijalankan…untuk pelajar UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah), Sains dan Matematik; (Pentaksiran Tahun 3) PT3, Sains dan Matematik dan untuk pelajar SPM, Matematik Moden serta Bahasa Inggeris.

“Program tuisyen percuma ‘Tuisyen Rakyat’ adalah untuk membantu pelajar-pelajar sejak awal tahun ini, terutamanya untuk mereka yang tidak mampu pergi ke tuisyen swasta,” jelasnya dalam kenyataan bertulis pada 22 Julai 2019.

Tambah Sze Zeng, PEKA setakat awal tahun ini menerima pendaftaran kira-kira 1,500 pelajar di sembilan pusat tuisyen dekat Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT, 7), Seberang Perai Selatan (SPS, 8), Barat Daya (6), dan Timur Laut (4).

“Tuisyen Rakyat adalah inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berteraskan empat ‘Matlamat Pembangunan Lestari’ oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations’ Sustainable Development Goals), iaitu basmi kemiskinan, pendidikan yang berkualiti, pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan ketidaksamarataan.

“Harapan PEKA adalah agar tuisyen percuma ini dapat meningkatkan mobiliti sosial untuk golongan B40 dalam negeri,” ujarnya.

Info lanjut ataupun pendaftaran, hubungi Mohammad Hazizi menerusi nombor telefon 04 – 226 5187 (sambungan 232) atau whatsApp 011-24113865​ atau emel [email protected].