Pelajar HSBM bolot lima medal Malaysia Techlympic 2022

LIMA pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam (HSBM) memegang pingat yang dimenangi dalam Malaysia Techlympic 2022 di sini pada 30 November 2022.

SAINGAN akhir Malaysia Techlympic 2022 yang dianjurkan Kementerian Tenaga. Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Stadium Axiata Arena dekat Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 dan 27 November ini sudah melabuhkan tirai baru-baru ini.

Daripada keseluruhan kategori acara yang dipertandingkan, Kontinjen Negeri Pulau Pinang berjaya dinobatkan sebagai Kontinjen Terbaik dengan membolot tujuh medal emas, perak (tujuh) dan gangsa (dua).

14 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam (HSBM) yang tersenarai sebagai peserta saingan akhir Malaysia Techlympic 2022 merakamkan gambar kenang-kenangan di sini pada pagi tadi.

Daripada tujuh pingat tersebut pula, lima medal disumbangkan oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam atau dikenali sebagai High School Bukit Mertajam (HSBM).

Mereka, N. Darshan, 13, dan Tan Lee Yu, 15, menjadi Johan bagi kategori acara Math Whiz masing-masing, serta membawa pulang pingat emas.

Manakala, dua pingat perak diraih oleh Tan Yuan Guan, 13, dan Ester Tan Chin Fei, 14.

Baki satu pingat perak lagi dimenangi oleh Khon Kai Ern, 13.

Pada pagi ini (30 November 2022), wartawan Buletin Mutiara, Zainulfaqar Yaacob dan Noor Siti Nabilah Noorazis (jurugambar) membuat tinjauan lanjut berhubung pencapaian tersebut di sekolah berkenaan.

NUR Nadhifah Ramli

NUR NADHIFAH RAMLI memberitahu bahawa pada 14 Julai 2022, beliau sebagai Guru Kelab STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) telah mendaftarkan 1,098 pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 HSBM bagi ‘membuka peluang’ penyertaan pertandingan tersebut yang dilangsungkan secara digital.

“Pendaftaran ini adalah bagi mendapatkan ID (kata nama) dan kata laluan akses masuk ke portal pertandingan.”

“Kemudian, dengan kerjasama guru-guru bagi subjek Sains Komputer, Sains dan Matematik yang lain, satu ruang alternatif disediakan bagi membolehkan peserta menyertai pertandingan di makmal-makmal komputer di sekolah bagi mengatasi isu tiada kemudahan Internet di rumah dan juga untuk peserta yang tinggal di asrama”

“Semua pelajar dari seluruh negara akan menyertai pertandingan ini untuk merebut kedudukan 50 terbaik (sebelum layak) ke saingan seterusnya (bagi merebut kedudukan 20 terbaik) pada peringkat kebangsaan.

“Dan, dalam saingan akhir, HSBM berjaya membawa 14 orang pelajar berkenaan bagi menyahut cabaran dalam Malaysia Techlympic 2022,” jelasnya yang juga merupakan Guru Cemerlang Sains.

“Pertandingan ini sebenarnya telah dikongsikan sendiri oleh Pembimbing Program Duta Guru (PPDG) Kohort 3 Seberang Perai Tengah, Puan Hajah Asmah binti Omar. Kami bertindak sebagai penggerak STEM Bersepadu bagi membolehkan eksplorasi STEM dialami sendiri oleh pelajar”

Nur Nadhifah juga merupakan peserta Program Duta Guru Kohort 3 yang dianjurkan oleh Yayasan Petronas, Pusat STEM Negara dan Teach for Malaysia.

HANI Shafriza Hanapiah

Dalam wawancara berasingan, Penolong Kanan Kokurikulum, HANI SHAFRIZA HANAPIAH memberitahu bahawa pihak pentadbiran sekolah khususnya Tn Pengetua, En Shamsudin bin Hussien sentiasa menyokong dan memberi galakan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar demi meningkatkan tahap keyakinan diri pelajar dalam semua aktiviti sama ada aktiviti di dalam kelas ataupun di luar kelas.

“Untuk Kelab STEM khususnya, ada pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh semua guru Sains dan Matematik termasuk Pn. Nur Nadhifah yang telah membantu para pelajar meningkatkan pencapaian akademik dan keyakinan diri (melalui pertandingan seumpama Malaysia Techlympic 2022).

“Pihak sekolah ingin menzahirkan rasa syukur atas pencapaian ini, seterusnya kami (peringkat guru-guru) amat berbangga kerana berjaya menjulang nama High School Bukit Mertajam khususnya dan nama negeri Pulau Pinang secara umumnya.

“Dengan kejayaan meraih lima pingat dalam Malaysia Techlympic 2022 ini, insya-Allah pada tahun-tahun akan datang kita akan terus memberikan peluang kepada semua pelajar untuk meraih kemenangan dalam pertandingan peringkat kebangsaan,” jelasnya.

KETUA Menteri (dua dari kiri) diiringi P. Ramasamy (kiri sekali) pada 25 November lepas menyantuni para peserta Malaysia Techlympic 2022, sebelum acara pelepasan dua bas persiaran ke MSN Bukit Jalil.

Pada 25 November 2022 lepas, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Tuan Chow Kon Yeow dalam suatu kenyataan media kepada pemberita antara lain memberitahu bahawa pentadbirannya berharap seramai 400 peserta dari negeri Pulau Pinang yang berpeluang menyertai saingan akhir Malaysia Techlympic 2022 sekurang-kurangnya dapat membina keyakinan dalam diri masing-masing.

Kon Yeow menyampaikan harapan itu termasuk kepada kira-kira 70 pelajar dan guru pengiring yang menghadapi masalah pengangkutan untuk ke ibu negara; hatta terpaksa menaiki dua bas persiaran yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penemuan Sains, Tech Dome Penang (TDP), Ts. Khoo Boo Wooi turut sertai majlis pelepasan dua bas persiaran tersebut di Komtar Walk, George Town.

N. Darshan

Sebagaimana dihasratkan oleh pentadbiran Kon Yeow, N. DARSHAN memberitahu Buletin Mutiara bahawa Malaysia Techlympic 2022 sedikit sebanyak membantu membina keyakinan dalam diri walaupun beliau menyahut cabaran sehingga saingan akhir secara dalam talian sahaja.

“Pengalaman yang besar dan menarik…saya berasa begitu riang dengan peluang (sebagai peserta saingan akhir Malaysia Techlympic 2022).

“Sebenarnya ini kali pertama saya menyertai pertandingan (Malaysia Techlympic 2022) tersebut.

“Selain berasa bangga kerana tersenarai sebagai peserta akhir (saingan peringkat kebangsaan), pertandingan ini sudah tentu membina keyakinan dalam diri ini,” jelasnya.

TAN Lee Yu

Nada hampir serupa juga turut dikongsi oleh pemenang pingat emas bagi kategori Tingkatan 3, TAN LEE YU.

“Terima kasih kepada para guru yang begitu banyak memberi motivasi dan latihan bagi meningkatkan keyakinan diri sebelum masuk ke peringkat saingan akhir ini.

“Saingan peringkat sekolah adalah selama satu jam (60 minit) tetapi masa itu semakin singkat dan pendek apabila ke peringkat zon dan peringkat kebangsaan…ini cabarannya.

“Cabaran lain, sudah tentu dari segi soalan yang kian mencabar (semasa saingan akhir),” jelas beliau lagi.

R.C. Visalatshe

R.C. VISALATSHE, 16, turut berkongsi rasa bangga berada pada kedudukan ke-14 terbaik bagi kategori acara Tingkatan 4 yang disertainya dalam Malaysia Techlympic 2022

“(Malaysia Techlympic 2022) ini merupakan kali pertama saya menyertai pertandingan peringkat kebangsaan.

“Ini adalah peluang terbaik untuk diri saya sendiri bagi melonjak kemampuan dan keyakinan dalam diri ini.

“Di samping itu, saya juga berasa begitu riang dan bangga selepas menerima peluang untuk duduk dalam saingan akhir…banyak perkara yang saya masih belajar menerusi (Malaysia Techlympic 2022) ini,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada sekalian guru yang membuka ‘peluang’ penyertaan tersebut secara terbuka pada peringkat sekolah sebelum ini.