Kerajaan Negeri ambil langkah proaktif pastikan keberkesanan kempen PGO

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) sentiasa mengambil langkah proaktif dalam memastikan keberkesanan kempen Penang Goes Orange (PGO) yang memasuki edisi kesembilan pada tahun ini.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata bahawa bagi mencapai maksud tersebut, penganjuran kempen PGO pada tahun ini akan dilaksanakan secara meluas melibatkan kesemua lima daerah di negeri ini.

Selain itu katanya, penganjuran di peringkat kerajaan tempatan juga turut dijalankan dan dikelola oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Walaupun jelajah kempen ini diadakan di lima daerah sahaja, namun setiap rakan strategik PGO dan 40 Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) akan tutut menjalankan kempen masing-masing.

“Ini adalah bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan iaitu sebarang bentuk keganasan terhadap wanita perlu dihapuskan dalam semua lapisan masyarakat dapat disebarluaskan hingga ke komuniti setempat,” katanya semasa berucap dalam majlis pelancaran Kempen Penang Goes Orange Peringkat Negeri Pulau Pinang 2022 dekat Komtar di sini semalam.

Kempen PGO 2022 memasuki edisi kesembilan pada tahun ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli-Ahli Lembaga Pengarah PWDC; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi dan Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng.

Mengulas lanjut, Chong Eng berkata PWDC juga telah bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) untuk menyebarkan kesedaran terhadap jenayah keganasan rumah tangga melalui penyediaan teks khutbah Jumaat.

“Saya ucapkan terima kasih kepada JHEAIPP yang sudi membawa pesanan tentang keluarga selamat kerana hanya dengan keluarga selamat sahaja boleh membentuk asas keluarga yang bahagia.

“Selain itu, Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) melalui Penang Harmony Corporation (HARMONICO) turut akan menghebahkan mesej yang sama di rumah-rumah ibadat tersebut,” katanya lagi.

Bukan itu sahaja kata Chong Eng, bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) turut akan dilimpahi lampu berwarna oren sebagai tanda sokongan Kerajaan Negeri terhadap kempen PGO.

“Oleh itu, saya menyeru orang ramai, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta untuk turut mewarnakan Pulau Pinang dengan warna oren

“Kerajaan Negeri juga melancarkan dua buah Bas PGO yang dibalut dengan mesej untuk menghentikan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak tersebar ke serata negeri,” serunya lagi.

Pemeriksaan kesihatan percuma antara program yang dianjurkan sempena pelancaran kempen PGO semalam.
Bas PGO yang dibalut dengan mesej kesedaran terhadap perlunya menghentikan keganasan rumah tangga.

Malah katanya lagi, sehingga kini Kerajaan Negeri juga menyediakan 350 First Support Point (FSP) di seluruh negeri sebagai inisiatif untuk memberikan bantuan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

“Aplikasi ‘Penang Stops Violence App’ yang dilancarkan sempena kempen PGO2021 akan membantu mangsa atau orang awam untuk mengenal pasti lokasi FSP yang terdekat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin berkata semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini digalakkan untuk mengambil bahagian dalam penganjuran kempen PGO di peringkat komuniti.

“Selain itu, masjid-masjid dan surau-surau juga digalakkan untuk menyebar mesej ini demi kebaikan bersama.

“Komitmen ini penting untuk memastikan mesej menentang keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak yang diangkat melalui kempen PGO dapat disebarkan ke seluruh negeri,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NURATIKAH RAHMAT