Pelajar kumpul 525kg kotak minuman

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

BAGAN – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini menjalankan kempen kitar semula kotak minuman di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Hwa, Butterworth dalam usaha menjayakan slogan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat hasil inisiatif mantan Ahli Majlis MPSP, Soon Lip Chee.

Lip Chee berkata, sebanyak lima buah sekolah lain, iaitu Pusat Sumber Alam Sekitar SPU, Sekolah Kebangsaan Mak Mandin, SJKC CHin Hwa, SJKC Chung Hwa 2 dan SJKC Chung Hwa Pusat turut menjayakan kempen berkenaan.

“Kempen disertai sekolah-sekolah ini telah berjaya mengumpulkan kotak minuman seberat 525 kilogram (kg) sejak dijalankan selama 15 hari bermula pada sambutan Tahun Baru Cina Februari lalu.

“Kita menjalankan kempen ini untuk mendidik rakyat Pulau Pinang bermula dengan murid-murid sekolah kerana masih ramai yang tidak mengetahui bahawa banyak barang terpakai boleh dikitar semula,” ujar beliau di sini barubaru ini.

Dalam pada itu, Lip Chee berharap agar lebih banyak sekolah dapat mengambil bahagian dalam kempen kitar semula tersebut dan diperluaskan kepada barangan harian lain.

“MPSP akan perluaskan kempen ini pada masa akan datang dan merancang untuk melaksanakannya menjelang setiap musim perayaan.

“Kita jadikan hari ini sebagai titik permulaan ke arah negeri yang lebih hijau dan bersih dan mengalu-alukan kerjasama daripada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah-sekolah serta kilang-kilang untuk turut sama mengambil bahagian,” jelas beliau.