Pelajar, sekolah cemerlang STPM terima ganjaran

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Seramai 72 orang pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2012 menerima insentif kewangan beserta sijil dan trofi daripada Kerajaan Negeri bertempat di Auditorium A, Komtar di sini baru-baru ini.

Para penerima merupakan pelajar dari sekolah-sekolah menengah pelbagai aliran di sini yang berjaya memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.0.

Kelangsungan majlis tersebut adalah sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) menghargai kecemerlangan dicapai anak-anak negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kriteria pemilihan dibuat berdasarkan gred purata sekolah yang diperoleh daripada Majlis Peperiksaan Malaysia.

“Syabas dan tahniah kepada semua pelajar dan sekolah-sekolah yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada semua sekolah untuk terus berusaha mencapai keputusan yang lebih cemerlang pada tahun 2013 kelak,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang STPM 2012 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain, mantan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P.Ramasamy, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Yusoff Wazir dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait.

Dalam majlis yang sama, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut menyampaikan anugerah kepada tiga pelajar terbaik dan pelajar-pelajar khas di bawah kategori Pelajar Istimewa.

Tiga buah sekolah yang memperoleh keputusan terbaik iaitu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian, George Town, SMJK Jit Sin, Bukit Mertajam dan SMJK (P) Cina, George Town turut diberikan anugerah dalam bentuk sijil penghargaan serta trofi.