Pelaksanaan cukai petak tidak libatkan sebarang kenaikan kadar cukai – Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Pelaksanaan cukai petak ke atas setiap pemilik petak yang memiliki hakmilik strata tidak melibatkan sebarang kenaikan kadar cukai.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pelaksanaan cukai petak membolehkan Pejabat Tanah dan Galian menggunakan formula yang sama bagi agihan cukai kepada semua pemilik petak berdasarkan keluasan lantai bangunan.

“Sebelum ini formula bagaimana cukai petak diagihkan kepada pemilik petak adalah ditentukan oleh Perbadanan Pengurusan (MC) atau Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Chow Kon Yeow bersama-sama barisan pimpinan Kerajaan Negeri dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang Akmar Omar menunjukkan contoh bil cukai petak pada sidang media sebentar tadi.

“Walau bagaimanapun, selepas cukai petak digunakan, formula yang diguna pakai adalah sama bagi semua pemilik petak iaitu menggunakan keluasan lantai.

“Oleh itu, cukai yang dikenakan sebenarnya adalah tidak melibatkan kenaikan (cukai) sebaliknya sama dengan cukai tanah biasa…jika ada peningkatan pun sedikit sahaja kerana kita tukar daripada keluasan tanah kepada keluasan lantai.

“Bagi aksesori pula, hanya dikenakan 50 peratus sahaja daripada kadar tersebut (keluasan tanah),” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Turut serta, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Akmar Omar.

Difahamkan, cukai bagi petak atau blok sementara di negeri ini mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2019 menggantikan cukai tanah sedia ada pemberitahuan Warta P.U (B) 714, bertarikh 21 Disember tahun lepas.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa pelaksanaan cukai petak juga membolehkan pemilik petak membayar bil terus kepada Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Tanah dan Galian tanpa melalui MC dan JMB.

“Pelaksanaan cukai petak mampu menyelesaikan beberapa masalah yang sering dihadapi oleh pemilik petak…contohnya apabila mereka mahu melakukan urus niaga atau sebagainya mereka sudah ada resit bayaran cukai petak tanpa perlu memohon pengesahan daripada MC dan JMB,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu bahawa semua pemilik petak strata di negeri diberikan lanjutan masa sehingga 31 Mei 2020 untuk membayar cukai petak mereka tanpa dikenakan sebarang caj kelewatan.

“Bil cukai petak 2019 sepatutnya diedarkan pada awal tahun tapi disebabkan terdapat isu-isu tertentu bil hanya diedarkan mulai November lalu secara berperingkat melalui MC dan JMB dan pemilik petak diberi kelonggaran membayar cukai petak sehingga 31 Mei 2020 tanpa sebarang caj denda.

“Sekiranya pemilik petak tidak menerima bil cukai petak 2019, mereka boleh mendapatkan bil di mana-mana kaunter Hasil, Pejabat Daerah dan Tanah atau Pejabat Tanah dan Galian sehingga 31 Disember ini,” katanya.

Tambah Kon Yeow, bil cukai petak bagi tahun 2020 pula akan dihantar kepada pemilik petak mulai Januari tahun depan melalui MC atau JMB ekoran ketiadaan alamat surat-menyurat pemilik petak strata.

Justeru, beliau menggesa pemilik petak strata untuk mengemas kini butiran-butiran mereka seperti nama, alamat surat-menyurat dan sebagainya melalui Borang NA (2) yang boleh didapati di Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang.

“Oleh itu, pemilik strata diminta mengisi alamat surat-menyurat terkini di bahagian belakang bil cukai supaya Pejabat Daerah dan Tanah atau Pejabat Tanah dan Galian boleh menghantar bil pada tahun depan dan seterusnya terus kepada pemilik petak,” serunya.

Bayaran cukai petak boleh dilakukan seperti berikut:

  • – Mana-mana kaunter di lima buah Pejabat Daerah dan Tanah.
  • – Secara atas talian di Portal e-Bayar http://ebayar.penang.gov.my mulai 1 Januari 2020.
  • – Kaunter pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : DARWINA MOHD. DAUD