Pelan asal JE ada jejantas – Hock Seng

Admin
ADUN Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (depan, tengah) bersalaman dengan ADUN Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria (duduk, kiri) sambil diperhatikan ADUN Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.
ADUN Batu Maung, Datuk Abdul Malik
Abul Kassim (depan, tengah) bersalaman
dengan ADUN Sungai Acheh, Datuk
Mahmud Zakaria (duduk, kiri) sambil
diperhatikan ADUN Pinang Tunggal,
Datuk Roslan Saidin.

GEORGE TOWN – Sesi soalan lisan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 baru-baru ini memperlihatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Lau Keng Ee mempersoalkan kelemahan yang timbul dalam pembinaan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (dahulu dikenali Lebuhraya Jelutong, JE) di sini.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng berkata bahawa banyak kelemahan yang wujud dalam pembinaan lebuhraya terbabit sehingga menyebabkan kesesakan dan kemalangan di beberapa kawasan terutama laluan selepas jeti Jabatan Laut Wilayah Utara.

“Sebagai contoh, perancangan pembinaan jejantas di Gat. Lebuh Macallum telah dibatalkan oleh mantan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

“Kerajaan Negeri ada memohon kepada pemaju untuk mengadakan rel adang (guard rails) dan pagar bagi mengelak pejalan kaki terutamanya melintasi lebuhraya di kawasan tersebut.

“Isu keselamatan inilah Tan Sri Dr. Koh dan Barisan Nasional (BN) perlu memberi maklum balas kepada rakyat kerana kita (Kerajaan Negeri) sekarang mewarisi ‘kecacatan’ dari kelemahan pengurusan dan pentadbiran sebelum ini,” katanya bagi menjawab soalan lisan berhubung keselamatan sepanjang lebuhraya berkenaan.

Hock Seng berkata, pengguna lebuhraya berkenaan terutama warga Pulau Pinang yang melalui Jambatan Pulau Pinang, ‘diseksa’ sekian lama rentetan kelemahan reka bentuk pembinaan (laluan dari Batu Maung).

Katanya, pengguna lebuhraya terpaksa melalui laluan tirus sebelum menaiki jambatan dan terpaksa berhadapan dengan situasi kesesakan yang melampau terutama ketika waktu kemuncak.

“Oleh demikian, Kerajaan Negeri telah meminta pemaju menyumbang sejumlah RM4 juta untuk membina laluan tambahan di kawasan berkenaan bagi melancarkan pergerakan trafik.

“Dari dua laluan kini menjadi tiga laluan sekaligus mengurangkan kesesakan sejak dibuka pada penghujung Oktober lalu,” tambah Hock Seng.