Pelan Butterworth Baharu bakal kembalikan semula kegemilangan Butterworth

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN

BAGAN DALAM – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng memuji kolaborasi dua hala Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity) dalam menggerakkan Pelan Butterworth Baharu.

Sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri bertaraf antarabangsa dan pintar, beliau percaya bahawa keterangkuman Seberang Perai bakal merancakkan lagi aspirasi negeri.

“Jika Pulau Pinang ingin menjadi sebuah negeri bertaraf antarabangsa dan pintar, ianya perlu juga merangkumi Seberang Perai dan bukan hanya tertumpu di pulau.

“Jadi, syabas kepada MPSP dan ThinkCity kerana kedua-dua entiti ini telah menjadikan aspirasi Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bergerak ke arah bertaraf antarabangsa dan pintar melalui Pelan Butterworth Baharu.

“Saya percaya ia (Pelan Butterworth Baharu) akan mengembalikan semula kegemilangan Butterworth sebagai hab pengangkutan dan pusat aktiviti seni bertaraf dunia,” ucapnya pada Majlis Perasmian Festival Pinggiran Butterworth (BFF) 2017 Ke-3 dekat Jalan Jetty Lama, Butterworth di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif yang dijemput khas; Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Kurator BFF, Joe Sidek dan Pengarah ThinkCity, Murali Ram.

Tambah Guan Eng, dengan penganjuran kali ketiga berkaitan, BFF berjaya meletakkan namanya setaraf dengan festival-festival seni
lain di dunia.

“Penganjuran BFF bertujuan menghidupkan hab budaya, kreativiti, seni dan paling penting, ianya bersifat fun and free festival dalam menghiburkan orang awam yang tidak berkesempatan pergi ke luar negara.

“Jadi kita bawakan persembahan luar negara datang ke Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Dalam pada itu, Rozali ketika berucap menyatakan bahawa Butterworth kini bergerak ke arah sebuah bandar lestari yang mana MPSP meluluskan projek-projek pembangunan di sekitar bandar sehingga menghasilkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bernilai RM306,858,693 bagi tempoh enam bulan pertama 2017 melalui empat projek.

“Ianya satu peningkatan ketara dari tahun 2016 iaitu cuma RM53,900.

Manakala GDV bagi tahun 2015 pula adalah sebanyak RM132,500 melalui enam projek,” jelasnya.

Sebanyak 27 persembahan seni mengambil bahagian dengan 20 daripadanya merupakan bakat anak tempatan dibawa pada penganjuran BFF 2017.

Pelbagai gerai jualan makanan, seni, buku, pameran dan lain-lain turut mengambil tempat dalam penganjuran festival yang berlangsung dari 12 hingga 13 Ogos lalu.