GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sedang merangka Pelan Induk Industri Halal Pulau Pinang 2026–2030 bertemakan ‘Halal Your Trust Assured’ bagi memperkukuh ekosistem industri halal negeri, merancakkan peluang pelaburan serta memperluas pasaran produk halal tempatan ke peringkat antarabangsa.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, inisiatif tersebut merupakan antara strategi utama di bawah Teras Pembangunan Sosioekonomi dalam Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 (APAI2030) yang turut merangkumi pemerkasaan koperasi dan pengoptimuman tanah wakaf bagi meningkatkan kesejahteraan umat Islam.
Jelasnya, industri halal bukan sahaja melibatkan aspek pensijilan dan pematuhan syariah, malah berpotensi menarik pelaburan, memperluas pasaran eksport, membuka peluang pekerjaan serta memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
“Berdasarkan rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sehingga Jun 2026, Pulau Pinang mempunyai 1,191 syarikat PMKS pemegang aktif Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), sekali gus berada pada kedudukan ketiga selepas Johor dan Selangor,” ujarnya.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Koperasi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 5 November 2026.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri turut mempergiat usaha membantu usahawan mendapatkan pensijilan halal menerusi Program Pensijilan Halal Kotej Pulau Pinang yang merekodkan 275 permohonan sehingga September 2026, dengan 50 syarikat berjaya diperakui oleh Panel Pensijilan Halal Negeri.
“Bagi membantu usahawan memenuhi keperluan pensijilan, Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) menyediakan Geran Pensijilan Halal Kotej berjumlah RM300,000 di bawah Penang Halal International (PHI), termasuk bagi tujuan menangani ketidakakuran dalam sistem MYeHalal JAKIM serta penambahbaikan premis,” jelasnya.
Mengulas mengenai pelan induk tersebut, Mohamad berkata, Kerajaan Negeri turut merancang pembangunan Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang (TPHPP) serta cadangan KITAB–PERDA Halal Hub seluas 70 ekar di PERDA Halal Park, Kubang Menerong.
Menurutnya, hab berkenaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, latihan halal dan inkubasi usahawan bagi menyokong pertumbuhan industri halal negeri.
Selain industri halal, Mohamad berkata, pembangunan koperasi turut menjadi antara pendekatan penting dalam memperkukuh ekonomi komuniti apabila Kerajaan Negeri menyalurkan Geran Mutiara MADANI berjumlah RM300,000 kepada 27 koperasi terpilih bagi tahun 2026.
“Inisiatif tersebut bertujuan membantu meningkatkan operasi, produktiviti serta peluasan pasaran koperasi tempatan,” tambahnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung itu turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada pembangunan tanah wakaf sebagai aset strategik yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat, termasuk penyediaan perumahan mampu milik.
Katanya, tiga projek Rumah Mampu Milik (RMM) melibatkan tanah wakaf dengan nilai keseluruhan RM145 juta telah mendapat kelulusan Kerajaan Negeri.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, pembangunan tanah wakaf akan terus diperkukuh melalui cadangan pembentangan Enakmen Wakaf Negeri Pulau Pinang pada 2027.
“Enakmen tersebut bertujuan memperincikan aspek pewujudan, pengesahan, pendaftaran, pentadbiran, pembangunan, pelaburan dan pengagihan manfaat wakaf,” katanya.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN