GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh tadbir urus kewangan berasaskan data menerusi pembangunan Dashboard Kewangan Negeri
Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata, pembangunan Dashboard Kewangan Negeri membolehkan pemantauan prestasi kutipan hasil berbanding sasaran dilaksanakan secara masa nyata, sekali gus membantu mengenal pasti jurang kecekapan serta membolehkan tindakan intervensi diambil dengan lebih pantas.
“Platform bersepadu itu turut menyediakan asas bagi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis corak kutipan dan perbelanjaan serta membangunkan sistem amaran awal bagi mengesan risiko fiskal.
“Kerajaan Negeri juga sedang meneliti pelaksanaan rintis pendekatan Belanjawan Berasaskan Sifar (Zero-Based Budgeting – ZBB) secara bersasar terhadap program atau aktiviti terpilih, tanpa menjejaskan obligasi kontrak dan penyampaian perkhidmatan asas kepada rakyat.
“Dalam aspek perolehan, usaha memantapkan sistem e-Perolehan Negeri sedang giat dilaksanakan, termasuk meneliti peluasan tatacara tender elektronik berpusat kepada kesemua 18 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi memperkukuh ketelusan, persaingan dan mengurangkan risiko ketirisan,” ujarnya ketika menjawab cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soo Siang berhubung pembaharuan pengurusan kewangan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Kali Ke-15 di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri turut menyambut baik cadangan menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi projek rintis ekosistem dron selain meneroka potensi industri dron dan Ekonomi Altitud Rendah (LAE) sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi masa depan.
Jelasnya, Pulau Pinang mempunyai asas teknikal dan ekosistem industri yang kukuh untuk menyokong pembangunan sektor berkenaan, khususnya menerusi kelebihan industri elektrik dan elektronik (E&E), pembangunan bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta aplikasi teknologi digital.
“Antaranya adalah kehadiran FILPAL (M) Sdn. Bhd. yang mempunyai kepakaran berkaitan dan kini beroperasi di GBS TechSpace, Silicon Research & Incubation Space, Bayan Lepas.
“Selain itu, InvestPenang giat mempromosikan kelebihan negeri dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC Design), perisian sistem terbenam, penderia dan kejuruteraan jitu bagi menarik pelaburan syarikat pengeluar dron serta komponen avionik berteknologi tinggi,” jelasnya merangkap ADUN Padang Kota.
Tambah beliau, pembangunan bakat turut diberi perhatian menerusi peruntukan RM12.3 juta bagi Projek Rintis STEM Talent bersama Kementerian Ekonomi, dengan penglibatan Penang STEM, Tech Dome Penang dan Penang Science Cluster (PSC) dalam menyediakan latihan AI untuk sistem autonomi.
“Pada masa sama, kepakaran Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang avionik dan penderiaan jarak jauh turut menyokong pembangunan bakat tempatan.
“Pelan Induk Ekonomi Digital Pulau Pinang (DEMP) 2025–2030 juga menjadi landasan kepada pembangunan aplikasi dron dalam sektor pertanian menerusi program rintis pengendali dron pertanian serta sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk meneroka model perkhidmatan Drone-as-a-Service (DaaS),” ulasnya lanjut.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI