Pelan tindak MPSP sasar kurangkan 50% sisa pepejal, kadar kitar semula naik 70%

SEBERANG JAYA – Program pengkomposan sisa membabitkan kompleks makanan, restoran 24 jam dan pasar awam yang akan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) diharap dapat melencongkan lagi sisa terkumpul ke Pusat Pelupusan Sampah Pulau Burong, sekaligus menjimatkan kos yang sepatutnya dibayar oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu, sisa kebun yang dihasilkan melalui pencantasan daun pokok, kerja-kerja pembersihan dan sisa gotong royong turut akan ditanam di bahu-bahu jalan tempat aktiviti itu dilaksanakan.
Semua itu, katanya lagi, akan dilaksanakan di bawah Pelan Tindakan Pengurusan Sisa Pepejal MPSP bagi tahun 2019 hingga 2022 dengan mensasarkan pengurangan sisa pepejal sebanyak 50 peratus serta meningkatkan kadar kitar semula sehingga 70 peratus di Seberang Perai.
“Pertambahan penduduk Seberang Perai setiap tahun akan meningkatkan lagi jumlah penghasilan sampah, oleh itu MPSP telah merangka satu pelan tindakan bagi mengurangkan sisa pepejal per kapita.
“(Melalui pelan tindakan ini) pengurusan sisa pepejal tidak mampu dicapai tanpa sistem yang menguruskan sisa daripada sumber penghasilannya sehingga kepada pelupusan sisa-sisa tersebut,” jelasnya dalam sidang media, selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini pada 25 Februari 2019.
Direkodkan, sepanjang tahun 2018 menyaksikan beratan sisa pepejal yang dihasilkan di Seberang Perai meliputi sampah domestik, industri, sisa kebun dan lain-lain adalah sebanyak 476,991 tan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB 
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS