Pelantikan sebagai TYT amanah yang berat, dipikul demi memajukan negeri – Ahmad Fuzi

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) menyaksikan Ketua Menteri (kiri) menyampaikan cenderamata berupa surat penghargaan dalam bingkai keemasan kepada Tun Abdul Rahman Abbas di Anjung Mutiara, Seri Mutiara di sini pada tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Upacara penyerahan tugas Tun Datuk Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kelapan, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak dekat Seri Mutiara di sini berlangsung dengan penuh istiadat pada tengah hari ini.

ACARA gimik penyerahan mohor serahan tugas Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang oleh Tun Abdul Rahman Abbas (tengah) kepada Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (kiri) di sini tadi.
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak semasa menyampaikan ucapan di Seri Mutiara di sini pada tengah hari tadi.

Ahmad Fuzi semasa berucap menzahirkan penghargaan kepada Abdul Rahman yang telah berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang bagi tempoh 20 tahun.

Selain itu, Ahmad Fuzi yang juga bekas diplomat turut menzahirkan rasa berat dengan amanah serta tanggungjawab yang bakal digalas sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang baharu, yang ditaklifkan oleh Yang Dipertuan Agong.

“Saya menyedari dan insaf betapa beratnya tanggungjawab jawatan ini untuk dipikul bagi meneruskan perjalanan serta memacu kemajuan negeri Pulau Pinang ke arah yang lebih cemerlang.

“Justeru, saya menyeru semua pihak (iaitu) pentadbiran Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) dan Kerajaan Persekutuan untuk saling berganding bahu bagi membantu saya menjalankan tugas sebagai ‘ketua’ negeri ini,” jelasnya dalam nada sederhana di Anjung Mutiara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Exco-Exco Kerajaan Negeri dan Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor turut menyertai majlis tersebut.

Seusai Ahmad Fuzi menyampaikan acara penyampaian ucapan, beliau menerima mohor serahan tugas daripada Abdul Rahman.

TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (duduk, tiga dari kiri), Tun Abdul Rahman Abbas (duduk, empat dari kiri), Ketua Menteri (duduk, dua dari kiri) serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang lain merakamkan gambar kenang-kenangan seusai selesai istiadat majlis berkaitan di sini tadi.
TUN Abdul Rahman Abbas semasa berucap di sini tadi.

Sebelum itu, Abdul Rahman ketika berucap menyatakan rasa syukur dan berterima kasih atas kerjasama padu yang diberikan kepada beliau sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Selama 20 tahun, saya berkhidmat bersama-sama tiga Ketua Menteri iaitu Yang Berhormat Lim Guan Eng, Yang Berhormat (Tan Sri Dr.) Koh Tsu Koon dan Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri serta para pegawai yang menumpahkan khidmat kepada saya selama menjadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang sebelum ini.

Selepas itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyampaikan cenderamata berupa surat penghargaan mewakili Kerajaan Negeri dalam bingkai keemasan kepada Abdul Rahman.

Ahmad Fuzi dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini bagi tempoh empat tahun.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ALISSALA THIAN