Tun Ahmad Fuzi angkat sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kelapan hari ini

Admin

GEORGE TOWN – Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak hari ini mengangkat sumpah sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kelapan dekat Dewan Sri Pinang di sini pagi tadi.

Pada majlis istiadat tersebut, Ahmad Fuzi tiba di Dewan Sri Pinang kira-kira jam 9:40 pagi bersama-sama isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Noor.

Istiadat dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormat Utama Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota sebelum dibawa masuk ke dalam dewan istiadat.

Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri dengan diiringi Ketua Menteri dan isteri untuk masuk ke dewan istiadat pagi tadi.

Istiadat kemudiannya diteruskan dengan pengisytiharan pelantikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar.

Kemuncak acara adalah istiadat lafaz sumpah jawatan yang disusuli dengan 17 das tembakan meriam sebagai simbolik pelantikan TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang kelapan.

Ahmad Fuzi seterusnya menandatangani surat cara angkat sumpah jawatan sambil disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Yang Arif Datuk Seri Tun Abd. Majid Datuk Seri Tun Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Selepas itu, Ahmad Fuzi berkenan menerima anugerah Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama yang diserahkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Ketua Menteri melafazkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia di depan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri.

Istiadat diteruskan dengan ucapan tahniah serta taat setia Ketua Menteri bagi mewakili seluruh jentera Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau Pinang.

Dalam ucapan beliau, Kon Yeow menyeru kepada seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri, penjawat awam negeri serta Persekutuan, badan berkanun, pihak swasta dan seluruh rakyat untuk bekerjasama dalam menyokong aspirasi negeri.

“Marilah kita berganding bahu serta membulatkan tekad dan iltizam untuk terus bekerjasama dalam menyokong aspirasi negeri.

“Ia sekaligus membantu mewujudkan suasana ekonomi yang kondusif, meningkatkan daya saing dan kecekapan perkhidmatan awam dan rakyat, merancakkan pelaburan serta memperkukuhkan sosioekonomi dan politik negeri.

“Saya serta pucuk pimpinan Kerajaan Negeri sedia ada sentiasa bersedia untuk berganding bahu dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negeri ini,” ujarnya.

Tun Ahmad Fuzi beredar meninggal dewan istiadat.

Istiadat kemudiannya diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor sebelum Yang Di-Pertua Negeri beredar meninggalkan dewan istiadat pada jam 11:05 pagi dan bergerak menuju ke Pejabat TYT dekat Anjung Mutiara, Seri Mutiara untuk acara Majlis Serah Tugas.

Hadir pada istiadat itu ialah mantan Timbalan Perdana Menteri,Tun Musa Hitam dan isteri Toh Puan Zulaikha Bibi Sheardin; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Sebagai rekod, Ahmad Fuzi merupakan mantan Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri setelah berkhidmat di kementerian tersebut sejak 1972.

Kini, anak jati Sungai Bakap, Pulau Pinang itu adalah Ketua Setiausaha World Islamic Economic Forum Foundation (WIEF) serta menjawat beberapa jawatan lain di pelbagai organisasi dalam serta luar negara.

Beliau pernah mengetuai rombongan rundingan rasmi pegawai kanan Malaysia di pelbagai persidangan antarabangsa, serantau dan dua hala. Beliau juga terlibat dalam menguruskan beberapa sidang kemuncak seperti Sidang Kemuncak NAM, Sidang Kemuncak OIC dan Sidang Kemuncak ASEAN.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan TYT Negeri Pulau Pinang kelapan kepada Ahmad Fuzi pada majlis di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Selepas istiadat pengurniaan watikah itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun kepada Ahmad Fuzi.

Ahmad Fuzi menggantikan Tun Dr. Abdul Rahman Abbas yang tamat tempoh jawatan sebagai TYT Pulau Pinang pada 30 April 2021 selepas berkhidmat selama 20 tahun.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & CHAN KOK KUAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS