Pelarasan tarif air bermula 1 Julai, majoriti pengguna domestik terlibat dengan peningkatan minimum – Exco

Admin
313587b5 a0bf 4fbb a812 967998ccdeda ZAIRIL Khir Johari dan K. Pathmanathan (kanan) dalam sidang media bersama di KOMTAR pada 4 Jun 2026.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melaksanakan pelarasan tarif air baharu bagi kategori domestik dan bukan domestik bermula 1 Julai 2026 selepas pelaksanaannya ditangguhkan selama setahun.

a1fa86fb 2e36 4745 8f37 925ca529c1ed
ZAIRIL Khir Johari

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, pelarasan tersebut melibatkan pengguna domestik dan bukan domestik, dengan majoriti pengguna domestik dijangka mengalami peningkatan bil pada kadar yang minimum.

Menurut beliau, sebanyak 82 peratus pengguna domestik di Pulau Pinang yang menggunakan sehingga 35 meter padu air sebulan akan terkesan dengan peningkatan bil yang kecil susulan pelarasan berkenaan.

“Bagi penggunaan 20 meter padu pertama sebulan, kadar tarif hanya diselaraskan daripada 62 sen kepada 65 sen bagi setiap meter padu.

“Pengguna yang menggunakan 35 meter padu sebulan akan membayar RM32.50 berbanding RM29.95 sebelum ini, manakala pengguna dengan penggunaan lebih rendah akan menikmati perbezaan bil yang lebih kecil,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan di Komtar pada 4 Jun 2026.

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga memberitahu bahawa meskipun berlaku pelarasan, kadar tarif air domestik di Pulau Pinang masih antara yang terendah di negara ini.

Ujarnya, purata kadar air domestik bagi 35 meter padu pertama sebulan adalah RM0.93 bagi setiap meter padu, lebih rendah berbanding purata nasional sebanyak RM1.12 dan kedua terendah di Malaysia selepas Perak.

Beliau menjelaskan bahawa bagi kategori bukan domestik pula, purata kadar baharu bagi 500 meter padu pertama sebulan ditetapkan pada RM2.28 bagi setiap meter padu, iaitu ketiga terendah di Malaysia selepas Terengganu dan Perak.

“Peningkatan maksimum bil air bagi 27 peratus pengguna air bukan domestik (seperti) kilang, hotel, pusat membeli-belah, premis perniagaan dan pejabat kerajaan yang menggunakan 500 meter padu atau kurang adalah RM77.70 atau RM2.59 sehari.

“Kadar tersebut masih berada di bawah purata nasional sebanyak RM2.85 serta antara yang terendah di Malaysia,” hurainya lanjut.

img 5866 img 5867

 

756052ec 59c4 4e36 b0be 1914ae0066d0
K. Pathmanathan

Sementara itu, Pathmanathan berkata, pengguna domestik yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai boleh memohon rebat yang disediakan oleh PBAPP melalui portal rasmi syarikat berkenaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa rumah ibadat, rumah kebajikan dan institusi seumpamanya tidak terlibat dengan pelarasan tarif tersebut.

“Golongan ini tidak dikenakan sebarang kenaikan tarif kerana pelarasan hanya melibatkan kategori domestik dan bukan domestik yang ditetapkan,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir tarif air di negeri ini diselaraskan adalah pada 1 Februari 2024.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD