Pemain industri, perkhidmatan ambil langkah proaktif berdepan gangguan bekalan air berjadual

20240103 114008 (2)

KURANG daripada seminggu dari sekarang, kebanyakan kawasan di negeri Pulau Pinang bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual susulan pihak berkuasa air negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan menjalankan kerja penukaran injap 1,200 milimeter di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

 

 

 

Ekoran itu, pemain-pemain industri seperti pembuatan, perhotelan, perkhidmatan dan makanan mula mengambil langkah proaktif berdepan situasi tersebut.

 

 

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI sempat menemu ramah beberapa pemain industri di negeri ini.

water 9

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Penang Chapter, DATUK TONY GOH memberitahu, beberapa hotel mengambil langkah menyediakan beberapa tangki tambahan bagi menghadapi tempoh tersebut.

 

 

 

“Tambahan daripada itu, ada juga pengurusan hotel yang mengambil langkah untuk mendapatkan lori-lori tangki swasta yang menyediakan perkhidmatan air.

 

 

“Walaupun agak sukar, namun kita semua faham mengenai kepentingan kerja penggantian yang perlu dilaksanakan demi kemudahan masa depan.

 

 

 

“Hampir kebanyakan hotel memang terkesan akibat gangguan ini, kecuali di Batu Ferringhi dan kawasan sekitar.

 

 

 

“Bagi saya Kerajaan Negeri pada masa akan datang mungkin boleh pertimbangkan untuk mengadakan perbincangan harga kawalan bagi lori tangki yang kami sifatkan sebagai agak tinggi kerana ia datang daripada pelbagai lokasi,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara dalam satu temu bual hari ini.

 

 

water6

Bagi Pengerusi Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), DATUK LEE TEONG LI menyatakan kebanyakan pemilik kilang bercadang menutup operasi pada hari gangguan bekalan air terjadi.

 

“Namun sekiranya keadaan pulih dengan cepat, mereka akan menjalankan semula operasi.

 

 

“Ketiadaan sumber air memang menyukarkan pengoperasian kilang yang banyak menggunakan sumber tersebut, kantin juga sukar untuk beroperasi.

 

 

“Satu perbincangan dan soal jawab dengan pihak PBAPP turut akan diadakan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian yang mungkin lebih efektif kepada penggiat industri termasuk cadangan-cadangan lain,” katanya.

 

20240103 113908

 

Pemilik premis mencuci kereta dekat Jalan Arratoon, BEN CHONG KOK ENG dalam pada itu menjangkakan pihaknya akan membuka perniagaan seperti biasa pada 10 dan 11 Januari.

 

“Kami mempunyai enam tangki, anggaran satu tangki boleh mencuci 30 buah kereta, jadi tunggu dan lihat berapa lama boleh bertahan, anggaran cuma dua hari, sekiranya hari ketiga habis, kami akan tutup,” jelasnya yang sudah enam tahun mengusahakan perkhidmatan tersebut.

 

Sementara itu, pekerja warga asing yang hanya mahu dikenali sebagai Muhamad Rizwan di sebuah restoran nasi kandar dekat Bukit Jambul berkata mereka masih diarahkan beroperasi seperti biasa.

 

 

 

Katanya, seperti gangguan sebelum ini, restoran tersebut masih menerima tekanan air dalam kadar yang rendah.

 

 

 

“Cuma kebiasaan bila tiada air, pelanggan hanya dibenarkan untuk bungkus sahaja bagi menjimatkan penggunaan air, setakat ini belum terima arahan untuk tutup operasi,” katanya.

 

Seorang kakitangan di sebuah restoran makanan Cina di Jalan Burma dan enggan dikenali memberitahu bahawa beliau akan menutup operasi pada 10 hingga 12 Januari.

 

“Seterusnya kami akan lihat kepada situasi, sekiranya keadaan kembali seperti sediakala atau sekurang-kurangnya terdapat bekalan air bertekanan rendah, mungkin boleh beroperasi semula, bergantung kepada pengurusan,” katanya.