Pemaju diseru adakan kempen kesedaran pemilikan RMM

GEORGE TOWN – Pihak pemaju diseru mengambil inisiatif mengadakan kempen kesedaran berhubung pemilikan rumah mampu milik (RMM) kepada masyarakat umum.

Seruan tersebut dinyatakan Exco Perancang Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo pada Majlis Kempen Kesedaran Pembeli RMM anjuran pemaju, M Summit Group Sdn. Bhd. (M Summit Group) di sini baru-baru ini.

Katanya, usaha tersebut adalah amat penting bagi membolehkan bakal pembeli memahami hak serta tanggungjawab masingmasing, terutama apabila membabitkan hal-hal jawatankuasa pengurusan (MC) dan badan pengurusan bersama (JMB).

“Saya ingin mencadangkan supaya pemaju lain juga dapat mencontohi M Summit Group yang mengambil inisiatif mengadakan  kempen sedemikian bagi meningkatkan pemahaman pembeli mengenai hartanah rumah mampu milik (RMM) dan skim-skim berkaitan.

“ Kesedaran ini adalah penting kerana kegagalan pembeli mengetahui hak masing-masing bakal menyumbang kepada masalah berhubung pengurusan , kejiranan dan kehidupan sosial pada masa depan,” katanya pada majlis tersebut.

Hadir sama, Pengarah Urusan M Summit Group, Datuk Albert Moh. Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, rata-rata pembeli RMM adalah pembeli rumah kali pertama dan golongan terbabit perlu memahami polisi dan dasar-dasar tersebut.

Malah, tambah beliau, RMM juga dilihat satu peluang yang baik untuk seseorang memiliki hartanah, karana kadar kelulusan pinjaman oleh pihak bank adalah lebih tinggi.

“ Sehingga akhir 2016, daripada 10,275 pemohonan yang menjalani saringan pemilihan Jawatankuasa Peningkatan Proses Pemilihan (SPEC), seramai 8,295 penerima telah menerima tawaran untuk membeli unit rumah mampu milik (RMM) di Pulau Pinang,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat turut memandang positif penglibatan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri   Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid untuk bersama-sama Kerajaan Negeri ‘mencari’ penyelesaian berhubung isu-isu perumahan di negeri ini.

“Ini satu sejarah dalam negara apabila Ketua Pembangkang bersetuju mengemukakan usul bersamasama Kerajaan Negeri berhubung isu kelulusan pihak bank membabitkan pemohon rumah kos rendah (RKR) dan sederhana rendah (RKSR).

“Salain itu, usul tersebut juga berkisarkan tentang RKR dan RKSR yang disewakan kepada warga asing,” ujarnya. M Summit Group merupakan pemaju bagi projek RMM Ramah Pavillion di Teluk Kumbar yang dijangka boleh diduduki Februari 2018.} else {