Bantuan pukat tidak pinggir kawasan pembangkang

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

TELUK BAHANG – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) tidak pernah meminggirkan Kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) dimenangi pihak parti lain termasuk dalam pelaksanaan program-program Emas demi kebajikan rakyat Pulau Pinang.

Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid menyatakan sedemikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Pukat Sesi Ke-2/2016 Kerajaan Negeri Kepada Nelayan KADUN Teluk Bahang di sini baru-baru ini.

Menurutnya, sumbangan pukat dua tahun sekali kepada nelayan-nelayan berdaftar Pulau Pinang merupakan salah satu produk ’emas’ Kerajaan Negeri selain Program Warga Emas, Ibu Emas, Pelajar Emas dan lain-lain.

“Kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan) membantu tanpa mengira latar belakang termasuk (latar belakang) politik.

“Justeru, diharap sumbangan yang diberikan pada ketika menjelang sambutan Tahun Baru Cina dapat meningkatkan pendapatan para nelayan berkaitan pada musim perayaan ini,” katanya pada majlis berkaitan.

Hadir menyempurnakan majlis membabitkan 151 nelayan berkaitan, Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Abdul Halim Hussain.

Turut hadir, Pengerusi serta Setiausaha Jawatankuasa dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Teluk Bahang dan Briged Wanita Teluk Bahang.

REAKSI NELAYAN:

Bagi ISHAK HASSAN, 55, yang telah 30 tahun bergelar nelayan amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan pukat berkaitan.

“Pemberian pukat  ini membuatkan pakcik lebih bersemangat untuk turun ke laut dan juga dapat meringankan beban kami sebagai nelayan.

“Ini kerana, pukat udang hanya dapat tahan dalam tempoh enam bulan sahaja. Dapat yang baru, boleh terus ganti yang rosak,” katanya yang telah dua kali menerima bantuan sumbangan berkenaan.

 

ISMAIL MOH NAYAN, 63, bersyukur dengan pemberian tersebut.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas pemberian pukat ini , kerana sebelum ini tak pernah dapat pun.

“Pemberian ini adalah terus kepada nelayan dan tidak melalui unit nelayan, jadi barang yang diterima memang sampai elok.

“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan serta ada tambahan alatan lain memandangkan kos sara hidup yang tinggi sekarang ni , ‘ ‘ ujarnya yang telah lapan tahun bergelar nelayan selepas bersara kerja kontrak.

 

LIM THYE HUAT, 6 5 tahun, yang telah 45 tahun bergelar nelayan menyatakan bahawa Kerajaan Negeri kini banyak menolong golongan nelayan di negeri ini.

“Terima kasih Kerajaan Negeri, sudah tiga kali saya dapat bantuan pukat. Kerajaan Negeri banyak tolong, banyak bagus.

“Guan Eng (Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng) banyak bagus, Halil (Halil Sabri) banyak bagus, Dato’ (Abdul Halim) banyak bagus…. harap ia berterusan,” katanya sambil tersenyum.

 

Penerima kali ketujuh, MAT DIN MAT ISA, 70, dan THOR KANG ENG, 57, berharap sumbangan berkaitan dapat diteruskan dengan tambahan peralatan-peralatan lain.

“Banyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik,” ujar mereka.