Pemaju perumahan disaran bina lebih banyak rumah mampu milik

SUNGAI DUA – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menyarankan agar pemaju-pemaju perumahan membina lebih banyak rumah mampu milik (RMM) untuk membantu penduduk di negeri ini memiliki kediaman sendiri.

Tambahan pula, katanya, penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara termasuk negeri Pulau Pinang sejak awal tahun lepas telah menyebabkan banyak sektor ekonomi terkesan teruk termasuk juga sektor hartanah.

“Dalam situasi ekonomi yang sangat mencabar ketika ini, adalah lebih praktikal dan paling baik untuk pemaju perumahan memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik berbanding skim perumahan mewah.

Seramai 14 orang pembeli yang layak menerima surat tawaran rumah mampu milik Sena Mas dekat Sungai Dua yang disampaikan oleh Jagdeep Singh Deo di sini pagi tadi.

“Pemaju boleh memilih untuk membina rumah mewah berharga jutaan ringgit tetapi untuk menjualnya bukan sesuatu yang mudah, jadi pembinaan rumah mampu milik merupakan pilihan terbaik ketika ini,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan surat tawaran kepada pembeli RMM Sena Mas yang layak dekat sini pagi tadi.

Hadir sama, Arkitek Jabatan Bangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Nurhazwani Mohd. Ramlee; Ketua Penolong Daerah bagi Daerah Seberang Perai Utara, Wan Saiful Ikmal; Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Ketua Pegawai Bisnes LPNPP, Fakhurrazi Ibnu Omar serta Pengarah PTL Properties Sdn. Bhd., Jason Teh.

Pada masa sama, Jagdeep juga mengalu-alukan lebih banyak pihak pemaju perumahan untuk tampil menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha mencapai sasaran 220,000 unit rumah mampu milik dibina di Pulau Pinang.

“Pihak Kerajaan Negeri, kita telah membuat pemilihan dengan sangat teliti supaya hanya mereka yang benar-benar layak sahaja dipilih sebagai pembeli rumah mampu milik di negeri ini dan setakat ini, hampir 60,000 orang telahpun terpilih,” ujarnya lagi.

Jagdeep turut memuji pemaju PTL Poperties Sdn. Bhd. kerana membina rumah mampu milik yang melebihi syarat keluasan minimum iaitu 850 kaki persegi sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

RMM Sena Mas yang berkeluasan antara 935 hingga 10,93 kaki persegi.

“Rumah mampu milik yang dibina oleh PTL Properties Sdn. Bhd. adalah antara 935 hingga 1,093 kaki persegi bagi setiap unit iaitu melebihi syarat saiz minimum ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

“Selain keluasan minimun, syarat lain yang ditetapkan dalam garis panduan kita adalah menyediakan kemudahan-kemudahan bersesuaian bagi memenuhi aspek daya huni, dan saya gembira kerana dimaklumkan bahawa ia telah dipatuhi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima peruntukan berjumlah RM17.5 juta daripada Kerajaan Pusat bagi tujuan penyelenggaraan skim-skim perumahan awam dan swasta yang layak di negeri ini.

“Saya gembira menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai hubungan baik dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baharu, dan beliau telah memberi komitmen untuk membina beberapa projek perumahan rakyat (PPR) di Pulau Pinang.

Unit RMM Sena Mas yang masih dalam pembinaan.

“Walau bagaimanapun, permintaan kita adalah sebanyak lima (projek PPR) dan saya akan susuli dengan timbalan beliau pada Ahad ini,” ujarnya lagi.

Difahamkan, RMM yang dibina oleh PTL Properties Sdn. Bhd. adalah jenis ‘townhouse’ yang mempunyai 300 unit dan dijual pada harga RM200,000 dengan keluasan antara 935 hingga 1,093 kaki persegi.

Perumahan tersebut turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk taman permainan kanak-kanak, ruang belakang, dewan serba guna, taman herba, ruang sosial, gimnasium dan lain-lain lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS