Pemandu kereta api Bukit Bendera bersara selepas tiga generasi

N. Chandrasekaran menunjukkan gambar datuk dan ayahnya semasa berkhidmat sebagai pemandu funikular Bukit Bendera.

SELEPAS berkhidmat selama 43 tahun bermula 16 Ogos 1976, pemandu kereta api kabel atau funikular Bukit Bendera N. CHANDRASEKARAN, 64, akhirnya mengambil keputusan untuk bersara pada 22 Ogos lalu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai MGR merupakan generasi ketiga dalam keluarganya yang pernah menyumbang bakti kepada pembangunan Bukit Bendera.

Datuk beliau juga berkhidmat untuk Keretapi Bukit Bendera (KBB) selama 33 tahun mulai tahun 1932, diikuti oleh bapanya (35 tahun) sebelum tanggungjawab tersebut diserahkan kepada Chandrasekaran.

Memerhatikan papan operasi kereta api funikular yang kini menggunakan sistem komputer sepenuhnya.

Ketika ditemui Buletin Mutiara, Chandrasekaran berkata, beliau terpaksa mengambil keputusan tersebut bagi memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap keluarga.

“Saya mula bekerja dengan KBB pada tahun 1976 sebagai tukang sapu, kemudian dilantik menjadi ‘porter’ pada tahun 1982, dan menyertai ayah saya sebagai pemandu kereta api pada tahun 1984 sehingga kini,” katanya yang dilahirkan serta dibesarkan di Bukit Bendera.

Jelasnya, beliau juga telah menyaksikan transformasi perkhidmatan funikular daripada gerabak kayu kepada gerabak kaca gentian.

“Pada masa itu, kami terpaksa menghentikan kereta api secara manual serta perlu membuka dan menutup pintu penumpang.

“Hari ini, operasi menjadi lebih mudah kerana semua sistem kawalan menggunakan komputer dan setiap gerabak juga dilengkapi dengan penyaman udara,” ujar Chandrasekaran.

Bercerita lanjut, beliau memberitahu bahawa banyak pengalaman pahit dan manis ditempuhi sepanjang tempoh bertugas.

N. Chanderasekaran disifatkan sebagai seorang yang rajin dan amat disenangi rakan-rakan sekerja.

“Kejadian bencana ribut pada November 2017 yang melanda Pulau Pinang antara kejadian yang paling sukar untuk dilupakan.

“Pada masa itu, saya melihat banyak pokok tumbang serta tumbuh-tumbuhan hijau telah musnah… kejadian itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri saya.

“Selain itu, banyak juga kenangan manis yang saya alami sepanjang 43 tahun saya bertugas.

“Antara yang paling saya ingati adalah semasa saya menyelamatkan haiwan sedang menyeberangi trek yang mana pada masa itu kami berhentikan kereta api dan mengalihkan haiwan itu keluar, “katanya yang melakukan perjalanan selama 100 kali dalam masa sehari.

Selain perwatakan yang ceria, Chanderasekaran juga adalah seorang kakitangan cemerlang berdasarkan beberapa pencapaian diterima beliau antaranya Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2003 dan 2009), Pingat Bakti Setia (2012) dan Pingat Jasa Kebaktian (2018).

Bergambar kenangan bersama-sama Cheok Lay Leng (duduk, dua dari kiri) dan kakitangan PHC.

Bapa kepada dua cahaya mata itu juga menyatakan bahawa beliau akan menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarganya selepas bersara terutamanya setelah cucu beliau kini sudah berusia sembilan bulan.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Dato’ Cheok Lay Leng menyifatkan Chandrasekaran sebagai seorang kakitangan yang ceria dan sangat berdedikasi.

“Tidak kira hujan atau panas, beliau akan datang ke pejabat dengan senyuman, dan mungkin sebab itulah beliau selalu kelihatan bertenaga.

“Semangat dan dedikasi yang ditunjukkan beliau pasti akan menjadi contoh kepada generasi muda.

“Walaupun sudah bersara tetapi kami akan tetap memberikan beliau layanan yang istimewa, dan kami sentiasa mengalu-alukan kunjungan beliau pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui.

Difahamkan, PHC kini mempunyai enam pemandu bagi perkhidmatan funikular Bukit Bendera.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI