Pemantauan 50 hotspot diganda

 

GEORGE TOWN – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan bahawa Pulau Pinang akan menggandakan pemantauan di 50 kawasan ‘hotspot’ sepanjang bulan Ramadhan ini.

ABDUL Malik Abul Kassim.
ABDUL Malik Abul Kassim.

Abdul Malik Abul Kasim pada majlis sidang medianya menyatakan bahawa langkah penguatkuasaan itu adalah mengikut peruntukan Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 (EKJSNPP).

“Pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang telah mengenal pasti tempat-tempat panas yang menjadi pusat kegiatan orang ramai makan serta membeli makanan untuk dimakan serta-merta di lokasi-lokasi terbabit,” ujarnya di Komtar di sini baru-baru ini.

Seksyen tersebut menyebut, “Mana-mana orang Islam pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan: Menjual kepada mana-mana orang Islam, apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum, atau dihisap serta-merta dalam waktu itu adalah melakukan suatu kesalahan.

Seksyen tersebut turut menjelaskan, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan.

Dalam perkembangan yang sama, Abdul Malik turut menasihatkan umat Islam di negeri ini supaya tidak lalai di pusat hiburan sepanjang bulan Ramadhan.

Bagaimanapun beliau berkata, Pulau Pinang tidak bercadang menguatkuasa polisi menutup seluruh pusat hiburan sempena bulan Ramadhan sebagaimana yang dicadangkan Kerajaan Negeri Kedah sebelum ini.