1,112 penerima darjah kebesaran

TYT Tun  Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas semasa Istiadat Kawalan Kehormat ke atas Batalion ke-4, Rejimen Renjer Diraja, di sini.
TYT Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas semasa Istiadat Kawalan Kehormat ke atas Batalion ke-4, Rejimen Renjer Diraja, di sini.

GEORGE TOWN — Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mendahului senarai 1,112 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Pulau Pinang sempena sambutan ulang tahun Yang Dipertua Negeri; Tun Abdul Rahman Abbas yang ke-73 baru-baru ini, di sini.

Beliau adalah antara dua orang penerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri. Turut menerima darjah yang sama ialah, Panglima Angkatan Tentera; Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Senarai yang dikeluarkan Bahagian Dewan Undangan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, 10 individu menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang juga membawa gelaran Datuk Seri. Antaranya Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Strategik) di Unit Penyelarasan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Ab. Ghani Ariffin; Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Zainal Rahim Seman; tokoh Dewan Perniagaan Cina, Datuk Choot Ewe Seng; Ahli Majlis Jawatankuasa Penasihat Kebangsaan Perbankan Islam dan Takaful Bank Negara Malaysia, Datuk Hassan Ahmad.

Manakala empat penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) yang membawa gelaran Datuk pula ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus dan Pengerusi Persatuan Anak Melayu Pulau Pinang di Kuala Lumpur dan Selangor, Datuk Zainul Azman Zainul Aziz.

Sebanyak 52 orang pula menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN), yang turut membawa gelaran Datuk. Mereka termasuklah pemain bola sepak legenda negara Namat Abdullah; Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Datuk Dr. Abdul Razak Abdul Muttalif; Pengarah Eksekutif Dijaya Land Development Sdn. Bhd., Khoo Poh Chye; Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn. Bhd., Datuk Meer Sadik Datuk Habib Mohamed; Pengarah Suffolk House, Gary Nair; bekas ketua pembangkang Abdul Rahman Kadir.

Di samping itu, seramai 73 individu menerima Darjah Johan Negeri (DJN), 34 penerima Bintang Cemerlang Negeri (BCN), 197 penerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT), 346 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 289 penerima Pingat Jasa Masyarakat (PJM) dan 105 penerima Pingat Bakti Setia (PBS).

 Dalam pada itu, Tuan Yang Terutama Tun dalam ucapan rasmi beliau meluahkan rasa kesyukuran beliau di atas beberapa kejayaan yang ditempa Pulau Pinang dan turut berbangga dengan pencapaian Pulau Pinang dalam usaha menjadikan Pulau Pinang lebih bersih dan hijau melalui ‘Cleaner Greener Penang’.

Beliau turut menyokong usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menampilkan Pulau Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa dan sekaligus menjadi destinasi utama pelabur.

Beliau menyarankan agar rakyat Pulau Pinang berusaha gigih dalam bidang masing-masing dan bersatu ke arah kesejahteraan Negeri Pulau Pinang.