Pembangunan asrama pekerja asing mampu tangani masalah sosial, penuhi kehendak industri – Exco

Admin

BATU MAUNG – Penyediaan asrama bagi menempatkan pekerja-pekerja warga asing mampu menyelamatkan skim-skim perumahan kos rendah daripada dibanjiri warga asing.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa dalam menangani masalah tersebut, sehingga kini Kerajaan Negeri telah meluluskan enam permohonan pembinaan asrama pekerja warga asing masing-masingnya di Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar, Juru, Bukit Minyak Permatang Tinggi dan Valdor.

“Daripada enam yang diluluskan, satu di Bukit Minyak sudah siap dengan kelengkapan 6,642 katil.

“Melalui kewujudan asrama ini juga, kita mampu menguruskan pekerja warga asing ini dengan lebih sempurna berbanding menempatkan 30 hingga 40 orang dalam satu rumah sekaligus menangani masalah sosial di kalangan mereka .

”Pendekatan yang diguna pakai ini juga (asrama) mampu memenuhi kehendak industri dari syarikat – syarikat multi nasional,” ujarnya pada sesi dialog bersama penduduk sekitar Batu Maung di Sekolah Kebangsaan Permatang Damar Laut semalam.

Hadir sama, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung dan Jurutera Kanan Lalu Lintas dan Pengangkutan Awam bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Zainuddin Mohammad Shariff.

Jagdeep yang juga ADUN Datok Keramat memberitahu bahawa sebelum ini beliau banyak menerima aduan berhubung perkara berbangkit tersebut.

“Apabila menjadi exco (perumahan), saya dapat banyak aduan tentang kebanjiran warga asing di skim-skim perumahan kita… bagi saya ianya harus diselesaikan demi menyelamatkan skim-skim perumahan.

“Dalam satu lawatan di Batu Maung pada tahun 2015 dulu, didapati hampir 30 hingga 40 warga asing ditempatkan dalam satu rumah, kita (Kerajaan Negeri) telah ambil tindakan kepada tuan rumah dan pemilik kilang juga,” ujarnya.

Pada sesi dialog berkaitan, selain isu kepadatan warga asing di taman perumahan, isu lain yang turut dibangkit ialah jangkaan kesesakan lalu lintas akan berlaku apabila bas pekerja semakin bertambah, isu keselamatan kanak-kanak sekolah di sekitarnya termasuk (keselamatan) penduduk dan sebagainya.

Teks dan Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI