Tambahan 500 CCTV di pulau 2015

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merancang untuk menambah 500 unit kamera litar tertutup (CCTV) tahun ini selaras hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang bandar selamat.

Bercakap kepada media, bekas Ahli Majlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur & Lalulintas MPPP, Muhammad Sabri Md. Osman memberitahu bahawa jumlah tersebut bakal meliputi kawasan Tanjung Bungah hingga Teluk Bahang, Persiaran Karpal Singh, sebahagian kawasan perindustrian dan beberapa kawasan lain di bahagian pulau.

Jelas beliau, kini MPPP mempunyai sejumlah 258 unit CCTV di seluruh kawasan pulau dan 56 daripadanya adalah disumbangkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKBPKT).

“Pemasangan CCTV adalah ke arah bandar selamat dan pihak Majlis telah mengenalpasti 23 lokasi hotspot untuk tujuan ini.

“Ia bukan sahaja digunakan untuk memantau keadaan trafik di sini (pulau), sebaliknya, turut digunakan oleh pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk tujuan keselamatan,” ujarnya selepas Mesyuarat Biasa Majlis di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama di sini barubaru ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Kejuruteraan MPPP, Addnan Mohd. Razali. Menurut Muhammad Sabri, pemasangan CCTV berkaitan dijadualkan bermula pada pertengahan tahun ini secara berperingkat dengan sebahagian besar kosnya disumbangkan MPPP.

Dalam pada itu, tambah Addnan, menjelang tahun 2017, Majlis menyasarkan sejumlah 3,000 CCTV bakal dipasang di seluruh kawasan pulau.

“Dari segi infrastrukturnya, ke arah matlamat tersebut, kita (MPPP) akan menjadikan tingkat 13 di Komtar sebagai bilik pemantauan CCTV memandangkan bilik sedia ada kini telah penuh,” ujar beliau.if (document.currentScript) {