Pembangunan prasarana di sekolah jadi pemangkin lahirnya modal insan berwibawa – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Pembangunan prasarana lengkap di sesebuah sekolah dilihat mampu menjadi pemangkin ke arah melahirkan modal insan yang berwibawa.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, selain kebajikan para pelajar yang sememangnya menjadi keutamaan, persekitaran selesa dan kemudahan yang lengkap juga perlu dititikberatkan.

“Persekitaran yang kondusif di sekolah mampu melahirkan suasana yang seronok ketika proses pembelajaran dan pengajaran dijalankan.

MAJLIS Makan Gala Amal St. George’s bertujuan mengumpul dana bagi tabung kebajikan sekolah.

“(Dan) secara tidak langsung ia membantu melahirkan modal insan yang sangat diperlukan dalam pembangunan negeri kita untuk merealisasikan Visi Penang2030 iaitu menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri pintar, hijau dan berteraskan keluarga yang menginspirasikan negara,” ujarnya pada Makan Malam Gala Amal sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-134 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan St. George’s dekat sini tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Pegawai Pendidikan Daerah Timur Laut, Azizah Paijo; Pengetua SMK (P) St. George’s, Athiyah Abdul Razak; Pengerusi Alumni SMK (P) St. George’s, R. Meenarani dan Pengerusi Jawatankuasa Majlis Makan Malam, Nicholas Fletcher.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa mulai tahun 2019, Kerajaan Negeri telah memberikan peruntukan pendidikan tahunan sebanyak RM3 juta kepada sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan bagi tujuan pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur sekolah.

“Saya berharap peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak sekolah ke arah menjadikan sekolah tempat yang selesa.

“Selaras dengan itu juga, saya telah meluluskan sejumlah peruntukan melalui Pejabat Ketua Menteri sebanyak RM50,000 kepada SMK (P) St. George’s untuk membantu pihak sekolah menjalankan kerja-kerja menaik taraf seperti dewan sekolah serta lain-lain kemudahan,” umumnya sambil menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga SMK (P) St. George’s yang banyak menyumbang ke arah kelestarian sekolah.

PERSEMBAHAN bersemangat daripada pelajar SMK (P) St. George’s.

Majlis makan malam anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan alumni sekolah berkenaan bertujuan mengumpul dana bagi tabung kebajikan sekolah dalam membantu pelajar yang kurang bernasib baik meneruskan pembelajaran sempurna sama seperti pelajar lain.

Disempurnakan dengan pukulan gong sebanyak tiga kali, majlis makan malam tersebut turut diselitkan dengan cabutan bertuah, persembahan orkestra dan ‘live band‘ serta persembahan pentas oleh pelajar dan bekas pelajar sekolah berkaitan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD