Pembangunan semula bandar, trend negara maju tangani masalah bangunan lama dan tidak selamat – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Pelaksanaan pembangunan semula bandar atau urban regeneration bagi bangunan-bangunan ‘berusia’ dan berisiko tinggi untuk dihuni adalah bertujuan mewujudkan pembangunan mampan dan berdaya huni.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, inisiatif pembangunan semula bandar ini telah banyak dilaksanakan di negara-negara maju termasuk beberapa negara di Asia seperti di Hong Kong dan Singapura.

 

“Pada tahun 2015, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Pembangunan Semula Bandar (URC) bagi memantau isu-isu berkaitan pembangunan semula bandar termasuk isu keselamatan struktur bangunan.

 

“(Dan) seperti yang dimaklumkan sebelum ini, di Pulau Pinang masih terdapat beberapa skim perumahan awam yang telah berusia lebih 50 tahun.

 

“Maka, pelaksanaan pembangunan semula bandar ini dilihat mampu menangani isu-isu seperti keusangan struktur yang tidak ekonomik kerana perlu pembaikan yang berterusan dan bangunan lama yang tidak selamat.

 

“Namun, sehingga kini Kerajaan Negeri ‘terpaksa’ menunggu panduan pelaksanaan pembangunan semula bandar berdasarkan peruntukan undang-undang daripada Kerajaan Persekutuan sama ada menggunakan akta sedia ada atau mewujudkan suatu akta baharu pembangunan semula bandar,” ujarnya pada sidang media di Komtar pada 5 Oktober 2020.

 

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan), ‘Ainul Fadhilah Samsudi serta wakil daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

 

Terdahulu, Jagdeep memberi respons terhadap isu keretakan struktur di salah sebuah bangunan kediaman di Taman Free School seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini.

 

KEADAAN flat di Taman Free School.                (Arkib Buletin Mutiara, Januari 2019).

“Isu keretakan struktur ini bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan bangunan tersebut telah berusia lebih 50 tahun dan pergerakan tanah di kawasan sekitar memburukkan lagi keadaan.

 

“Walau bagaimanapun, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah bertindak pantas dengan memindahkan penghuni di lapan unit ke kediaman sementara.

 

“(Dan) kawasan tersebut juga ditutup atas faktor-faktor keselamatan,” responsnya.

 

Difahamkan, perunding bebas turut dilantik bagi meratifikasi situasi tersebut dan pemantauan akan diteruskan sehingga tindakan lanjut dipersetujui.

 

Menurut Jagdeep, Taman Free School merupakan salah satu daripada lima skim perumahan awam usang yang diletakkan di bawah pemantauan URC.

 

“Selain Taman Free School, turut disenaraikan adalah flat di Padang Tembak (Air Itam); Lengkok Mahsuri (Bayan Baru); Taman Siakap di Seberang Jaya dan Mak Mandin (di Butterworth).

 

“Bagi skim perumahan awam Lengkok Mahsuri, sepatutnya projek pembangunan semula bandar dimulakan hujung tahun ini namun dek kerana COVID-19 ia ditangguhkan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN