Sidang Muda tingkat keyakinan diri, tambah pengetahuan – Exco

Admin

SEBERANG JAYA – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee menyifatkan Sidang Muda anjuran Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) sebagai platform terbaik anak muda menyertai arena politik.

 

Jelasnya, melalui sidang tersebut golongan belia berumur 15 hingga 30 tahun bakal mendapat pendedahan simulasi perbahasan dan mesyuarat sepertimana yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN).

 

“Sidang Muda adalah program yang menekankan nilai kesedaran sivik, demokrasi dan kewarganegaraan dalam kalangan golongan belia.

 

“Ia merupakan satu platform kepada belia membahas usul simulasi seperti di DUN. Pada masa sama, golongan belia akan berpeluang mengaplikasikan segala konsep yang dipelajari dalam bentuk yang lebih praktikal,” ujarnya.

 

Hadir sama, Speaker DUN, Dato’ Law Choo Kiang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit dan Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling.

 

Lip Chee yang juga ADUN bagi kawasan Bagan Jermal memberitahu, kesempatan ini wajar digunakan oleh golongan beliau untuk meningkatkan keyakinan diri, menambah pengetahuan, dan memahami struktur pentadbiran serta fungsi kerajaan.

 

Sementara itu, bertindak sebagai Speaker dalam Sidang Muda, Choo Kiang amat mengalu-alukan penyertaan anak muda di masa hadapan.

 

“Suara anak muda juga penting, seperti kita ketahui Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 turut meluluskan penurunan umur mengundi dari 21 ke 18 tahun.

 

“Golongan belia juga perlu memperkasakan ilmu dalam politik dan mengetahui kepentingan politik, maka Sidang Muda ini adalah medan terbaik kepada mereka,” katanya lagi.

 

Difahamkan sidang yang berlangsung untuk tahun keempat itu mendapat penyertaan 14 orang.

 

Melalui sidang tahun lalu, 10 pendebat terbaik akan dibawa mengikuti sidang Dewan Rakyat di Parlimen, namun kekangan pandemik COVID-19 ianya tidak dapat dijalankan tahun ini.

 

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI