Pembentangan usul kosongkan kerusi ADUN diteruskan – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Pembentangan usul bagi mengisytiharkan kekosongan kerusi bagi Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertindak menukar parti politik akan diteruskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Oktober ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa perkara itu adalah selaras dengan Perkara 14A(1) Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 berhubung pertukaran parti politik seseorang wakil rakyat.

Enakmen tersebut memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hendaklah mengosongkan kerusinya jika;-
(a) setelah dipilih sebagai calon daripada satu parti politik, dia melepaskan atau dilucutkan keahliannya atau berhenti daripada menjadi ahli politik tersebut atas apa-apa jua sebab; atau
(b) setelah dipilih sebagai calon yang bukan daripada satu parti politik, dia mneyertai suatu parti politik.

“Perkara 14A(1) dengan jelas memperuntukkan keadaan-keadaan yang mana seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya sebaik sahaja dia menukar parti politik atas apa cara sekalipun.

“Walau bagaimanapun, pembentangan usul ini adalah atas inisiatif Kerajaan Negeri berlandaskan prinsip demokrasi untuk membolehkan ADUN-ADUN berbahas sebelum apa-apa keputusan dicapai.

“Jadi, kita tidak mengambil langkah walaupun Perlembagaan Negeri membenarkan pengosongan kerusi dilakukan serta-merta.

“Justeru, andai kata usul itu diluluskan, Yang Dipertua Dewan hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan tersebut untuk membolehkan pilihan raya kecil bagi kawasan berkaitan diadakan,” katanya pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Turut serta, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Exco Pelancongan, Seni, Budaya, Warisan Pulau Pinang (PETACH), Yeoh Soon Hin; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar.

Pada 10 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dalam penggulungan usul menjunjung titah Diraja di Dewan Rakyat mencabar Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengosongkan empat kerusi DUN berikutan tindakan empat ADUN yang melompat parti.

Justeru, kata Kon Yeow, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia menyahut cabaran tersebut demi menghentikan gejala melompat parti dalam kalangan wakil rakyat yang semakin berleluasa.

“Sekiranya Menteri berkaitan memerlukan ketegasan Kerajaan Negeri untuk sekali lagi mengorak langkah demi menghentikan gejala pertukaran ahli politik yang berleluasa, ia adalah satu cabaran yang akan kami tempuhi,” ulasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri turut mengambil maklum keputusan Mahkamah Agung (Mahkamah Persekutuan) pada tahun 1992 dalam kes Nordin Salleh terhadap DUN Kelantan.

“Namun, sudah tiba masanya untuk kita mengkaji semula keputusan tersebut demi kebaikan bersama dan masa depan rakyat negara ini,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING