Situasi COVID-19 di Pulau Pinang dalam keadaan terkawal

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa penularan wabak COVID-19 di negeri ini masih lagi terkawal walaupun mencatatkan empat kes baru melibatkan kawasan Seberang Perai sejak tiga hari lalu.

Walau bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah melancarkan Pelan Tindakan Serta-Merta bagi membendung penularan wabak berkenaan di negeri ini.

“Justeru, melalui Mesyuarat Taskforce Pengurusan Krisis COVID-19, MBSP membuat 13 ketetapan antaranya, mengarahkan 3,091 tenaga kerjanya untuk kembali bertugas bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan di tempat-temat awam khususnya di Seberang Perai Tengah (SPT) yang diisytihar sebagai Zon Kuning.

“Selain itu, MBSP juga perlu menjalankan disinfeksi di pasar-pasar awam serta Kaunter Berpusat (MBSP) secara harian berbanding dua hari sekali sebelum ini selain menumpukan pemantauan di kawasan berisiko tinggi.

“Penjaja tepi jalan di Zon Kuning juga hanya dibenarkan menjual secara bungkus sahaja yang mana aktiviti menjamu selera digerai penajaja adalah tidak dibenarkan.

Yeoh Soon Hin.

“Serentak itu, 12 pasar awam yang sibuk di bawah pentadbiran MBSP juga akan dikawal oleh anggota polis dan penguatkuasa bagi memastikan pematuhan SOP oleh peniaga dan pengunjung,” ulas beliau pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Turut serta, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Exco Pelancongan, Seni, Budaya, Warisan Pulau Pinang (PETACH), Yeoh Soon Hin; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar.

Tambah Kon Yeow, sehingga 10 Ogos lalu, kadar pematuhan SOP secara am bagi kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) adalah pada kadar 99.55 peratus manakala MBSP (99.36 peratus).

“Kadar pematuhan SOP pemakaian pelitup muka di pasar-pasar awam pula adalah pada kadar 100 peratus bagi kedua-dua kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan.

“Dalam tempoh masa sama juga, sebanyak 13 premis makanan telah ditutup oleh MBSP kerana didapati gagal mematuhi SOP,” jelasya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan bahawa jumlah pendaftaran bagi Aplikasi MySejahtera meningkat kepada 913,832 (sehingga 10 Ogos 2020) berbanding 431,171 pada 24 Julai lalu.

“Peningkatan ini mungkin disebabkan oleh langkah Kerajaan Negeri menghentikan sistem pendaftaran bagi pengesanan kontak iaitu aplikasi Penang Contact Tracer (PGCare),” ujarnya.

Kon Yeow dalam pada itu turut memaklumkan bahawa seramai 159 pesakit dalam pemantauan (PUS) kini ditempatkan di stesen-stesen kuarantin yang digazetkan di negeri ini.

Mengulas mengenai perkembangan industri pelancongan negeri, Kon Yeow menyatakan bahawa 50 penggiat industri pelancongan memohon menyertai program Akreditasi Penggiat Pelancong yang dilancarkan Kerajaan Negeri bagi memastikan kesiapsiagaan kepatuhan normal baharu.

“Daripada segi pelancongan domestik didapati bahawa lebih ramai pengunjung datang ke Pulau Pinang yang mana kadar penginapan di hotel-hotel pula amat memberangsangkan sehingga ada yang mencapai 90 hingga 100 peratus pada hujung minggu.

“Malah, secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang dimaklumkan bahawa situasi COVID-19 di negeri ini adalah dalam keadaan terkawal.

“Dengan ini, Kerajaan Negeri ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada serta semua pihak terutamanya barisan hadapan (frontliners) yang sentiasa bersedia dan berusaha melawan wabak COVID-19,” jelasnya.

Sementara itu, Soon Hin memberitahu bahawa pelbagai promosi dan tawaran istimewa telah ditawarkan kepada pelancong domestik bagi meningkatkan industri pelancongan negeri.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : LAW SUUN TING