Pembesaran LTAPP, Pusat hanya akan kemuka permohonan bawah RP2, RMK11

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri berasa kecewa bahawa Kementerian Pengangkutan hanya akan mengemukakan permohonan peruntukan untuk membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di bawah Rolling Plan Kedua, Rancangan Malaysia Kesebelas (RP2, RMKe-11).

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam kenyataan akhbarnya bertarikh 7 April lalu di sini.

Katanya, dengan itu, ia bermakna bahawa Kementerian Pengangkutan hanya akan memohon pada tahun depan untuk menaiktaraf LTAPP.

“Ini dinyatakan dalam jawapan bertulis kepada soalan saya di Parlimen oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Sekiranya permohonan penaiktarafan ini diluluskan pada 2017 pun, kerja pembinaan akan makan masa sekurang-kurangnya tiga tahun yang bermakna projek pembesaran paling awal boleh siap, adalah pada tahun 2021 atau 2022.

“Masa itu, jumlah penumpang yang kini mencecah 6.26 juta orang, akan jauh melebihi kapasiti sedia ada LTAPP, iaitu 6.5 juta penumpang setahun yang akan menambah kesesakan di LTAPP yang begitu kritikal,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, soalan akan ditanya mengapa pihak Kementerian tidak membuat perancangan lebih awal berhubung inisiatif berkaitan.

“Ini menunjukkan sikap tidak serius dan prihatin ke atas sebuah lapangan terbang yang merupakan antara paling memberi keuntungan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Serentak itu, adalah diharapkan tambahan tempat letak kereta di LTAPP sebanyak 3,000 boleh dilaksanakan dalam dua fasa pada 2017 dan 2018,” kata beliau.