Pembesaran PIA, Kerajaan Negeri sedia dan ingin kerjasama dengan Pusat

Admin

GEORGE TOWN Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dekat Bayan Lepas dapat dilaksanakan segera.

Menurut beliau, melalui jawapan bertulis yang diterima pada sesi Dewan Rakyat 23 Julai lalu, Kementerian Pengangkutan melalui Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang merancang untuk melaksanakan ‘terminal optimization’ bagi mengurangkan kesesakan penumpang terutama ketika waktu puncak sebagai langkah mitigasi jangka pendek.

Dalam jawapan bertulis yang saya terima, Kementerian Pengangkutan mengakui bahawa PIA yang ada kini direka untuk menampung pengendalian 6.5 juta penumpang setahun.

Namun, jumlah penumpang yang dikendalikan pada tahun 2017 mencapai 7.2 juta penumpang iaitu 111 peratus daripada kapasiti sedia ada, dan Kerajaan (Persekutuan) menyatakan komitmen bagi menyelesaikan masalah kapasiti di PIA dengan mengambil langkah-langkah jangka masa pendek dan panjang,” ujarnya pada sidang media di sini 25 Julai lalu.

Jelas Kon Yeow, buat masa ini, MAHB masih dalam proses penyediaan dokumen tender bagi melantik kontraktor dan kerja-kerja pengubahsuaian akan mengambil masa sehingga lima bulan untuk siap pada Februari 2019.

Sebagai langkah panjang pula, beliau menyatakan, MAHB mempunyai perancangan untuk mempertingkatkan kapasiti pengendalian penumpang daripada 6.5 juta penumpang setahun (mppa) kepada 12 mppa.

(Dan) pihak MAHB sedang melaksanakan proses lantikan juruperunding yang dijalankan melalui proses tender terbuka.

Segala perincian kos keseluruhan projek pembesaran PIA adalah tertakluk kepada kajian terperinci yang akan dilaksanakan oleh juruperunding dilantik mengikut kaedah pembiayaan dipilih,” katanya merujuk kepada jawapan bertulis diterima.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, buat masa ini, pertambahan bilangan penumpang adalah pada kadar 10 peratus setiap tahun, dan berharap agar projek pembesaran PIA berkaitan dapat melibatkan Kerajaan Negeri juga.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia dan ingin memberi kerjasama dalam projek pembesaran PIA ini, tambahan pula Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) juga telah memperoleh tanah di kawasan sekitar lapangan terbang melalui pengambilan tanah masa lalu.

Jadi saya harap, pihak MAHB dapatlah menghubungi Kerajaan Negeri atau PDC untuk sama-sama merealisasikan pembesaran PIA. Ini kerana dengan kadar penumpang yang bertambah setiap tahun menjadikan keadaan ini adalah amat mendesak (untuk projek pembesaran itu),” ujarnya sambil menyatakan kesediaan Pulau Pinang untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan MAHB.