Kabaddi, promosi demi martabatkan sukan tradisional

Admin

GEORGE TOWN – Persatuan Kabaddi Pulau Pinang memohon agar disediakan sebuah lokasi kekal sebagai tempat untuk menjalani latihan kepada atlet-atlet berkenaan.

Namun, bagi Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee ketika menjawab permohonan berkaitan menyatakan bahawa penyediaan pusat latihan kekal bukanlah menjadi keutamaan buat masa ini.

Berdasarkan keadaan semasa, sukan kabaddi tidak dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA), jadi kewajaran untuk menyediakan lokasi kekal masih belum menjadi keutamaan kepada Kerajaan Negeri berbanding sukan-sukan berprestij tinggi lain yang menjadi pilihan utama pada kejohanan berkaitan,” katanya pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 baru-baru ini.

Menurut Lip Chee, sukan kabaddi kini berada di bawah naungan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

MSNPP sentiasa membantu Persatuan Kabaddi Pulau Pinang berhubung pemberian subsidi berjumlah RM3,000 hingga RM5,000 bagi membolehkan pasukan tersbeut menyertai pertandingan dari semasa ke semasa, dan pada masa sama membantu dalam pembayaran elaun latihan RM50 sebulan.

Ini termasuk menyediakan lokasi latihan di Dewan Silat, MSNPP,” jelasnya yang turut berhasrat untuk memartabatkan sukan tradisional ke peringkat professional sebagaimana disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil dan ADUN Batu Uban, A. Kumaresan.

Serentak itu, Lip Chee turut berjanji untuk meneruskan kerjasama dengan Exco Pembangunan Pelancongan dan Warisan, Kebudayaan & Kesenian demi memajukan sukan tradisional ini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI