Pembesaran Stesen Atas Bukit Bendera mampu tampung 1,000 pengunjung, beri lebih keselesaan

Admin

AIR ITAM – Lembaga Perbadanan Bukit Bendera kini dalam proses merancang untuk membesar dan memodenkan Stesen Atas Bukit Bendera bagi memberi lebih keselesaan kepada para pengunjung.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai berkata, kerja-kerja penambahbaikan melibatkan pembesaran ruangan menunggu, pembinaan tandas awam tambahan serta kafe yang dijangka mampu menampung sehingga 1,000 penumpang.

“Sebelum ini, Stesen Atas hanya boleh menampung 150 orang sahaja dan apabila waktu hujan penumpang-penumpang terpaksa berbaris dengan payung atau memakai baju hujan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan demonstrasi pemadaman api.

“Walau bagaimanapun, pada tahun lepas, jumlah pengunjung yang melawat Bukit Bendera mencatatkan rekod cemerlang iaitu seramai 1.7 juta pengunjung.

“Oleh itu, pihak Perbadanan (Bukit Bendera) telah meminta fasa empat dirancang dengan rungan menunggu yang lebih besar, ketersambungan yang lebih baik serta tandas awam tambahan yang lebih selesa,” katanya dalam ucapan perasmian Kempen Keselamatan dan Pencegahan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, di sini pada 16 Februari lalu.

Turut serta, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Negeri Pulau Pinang, Saadon Mokhtar; Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera, Cheok Lay Leng; Ketua-Ketua Balai Bomba serta komuniti setempat.

Pada majlis itu juga, seramai 41 orang terdiri daripada pekerja dan penduduk setempat dilantik sebagai Pasukan Bomba Komuniti Bukit Bendera.

Difahamkan, Bomba Komuniti Bukit Bendera merupakan pasukan pertama di negara ini ditubuhkan di kawasan tanah tinggi yang mana kesemua anggota dilantik akan diberikan kursus secara praktikal dan amali berkaitan asas kebakaran dan tindakan awal yang perlu dilakukan sekiranya berlaku bencana.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF