Pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar masih dalam proses pertimbangan – Exco

GEORGE TOWN – Pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar masih lagi dalam proses pertimbangan, menurut Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye.

Beliau turut memaklumkan bahawa perancangan tersebut merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam menangani masalah pekerja asing yang tinggal di kawasan perumahan.

“Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang telah meluluskan dua permohonan bagi pembinaan asrama warga asing iaitu mendirikan satu blok bangunan asrama 27 tingkat yang turut dilengkapi kemudahan rekreasi dan ruangan kedai melibatkan sebanyak 512 unit di atas lot 1859,1860 dan 1865 bertempat di Tingkat Teluk Kumbar, Mukim 9, Teluk Kumbar oleh Tetuan Chong Company Sdn. Bhd.

“Sehingga kini, lokasi pembinaan asrama di (Tingkat Teluk Kumbar) yang dikemukakan oleh Tetuan Chong Company Sdn. Bhd. adalah masih sama dan selaras dengan keputusan perakuan Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang pada 25 Jun 2022,” jelasnya pada sesi Soalan Lisan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 27 November 2023.

Menjawab soalan tambahan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah, Mooi Lye turut memaklumkan sebarang cadangan pemindahan perlu merujuk kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk pertimbangan semula serta tertakhluk kepada tuan tanah atau pemaju.

“Untuk makluman, anggaran sebanyak 32,680 pekerja warga asing akan ditempatkan di kawasan Teluk Kumbar seperti yang telah dinyatakan, pemindahan ke kawasan perindustrian seperti Batu Kawan akan menimbulkan banyak kekangan terhadap pekerja warga asing terutamanya perjalanan mereka ke tempat kerja,” ulasnya lanjut.

Sehingga 31 Oktober 2023, difahamkan seramai 147,344 (warga asing) telah berdaftar melalui Jabatan Imigresen bagi mendapatkan pas lawatan kerja sementara (PLKS), manakala seramai 69,859 telah mendapat Sijil Perakuan Penginapan Pekerja (COA) yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Tambah Mooi Lye, seramai 30,956 masih lagi belum menerima sijil COA dan masih lagi menetap di kawasan perumahan ekoran tidak mendapat perakuan dan berbaki 46,529 belum mengemukakan permohonan COA serta tidak dapat dikenalpasti.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT