Penggantian jambatan baharu Jalan Kampung Nelayan disambut baik umum

PENGGANTIAN sebuah jambatan baharu yang merentangi Sungai Teluk Bahang dekat Kampung Nelayan di sini rata-ratanya disambut baik umum.

Projek yang menelan belanja RM1.15 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri tersebut telah siap 31 hari lebih awal daripada yang dijadualkan dan majlis penyerahan projek telah berlangsung 1 September lalu.

Bagi SITI ROPIAH BAWA, 43, menyifatkan pembinaan jambatan baharu tersebut melegakan pihaknya kerana telah mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut dan tidak terkecuali turut menjejaskan operasi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Teluk Bahang (PPDK Teluk Bahang) yang diselia beliau.

“Disebabkan lokasi PPDK Teluk Bahang ini terletak sangat dekat iaitu kurang 150 meter daripada jambatan, apabila banjir memang kami terpaksa menutup operasi PPDK ini.

“Air banjir yang masuk hingga ke paras buku lali, tidak cukup dengan itu, air turut membawa sampah sarap, kayu dan anak-anak ikan daripada laut berhampiran.

“Banjir bukan saja berlaku apabila hujan lebat atau berterusan, tetapi jika air laut pasang besar pun boleh berlaku banjir sebab air laut bertembung dengan Sungai Teluk Bahang,” ujarnya yang merupakan Penyelia PPDK Teluk Bahang kepada Buletin Mutiara ketika ditemubual pagi tadi.

Menurut beliau, PPDK Teluk Bahang merupakan pusat pemulihan bagi orang kurang upaya (OKU) yang dikawal selia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Terdapat kira-kira 45 OKU yang datang ke sini setiap hari, tapi dulu bila berlaku banjir memang mereka tidak dapat hadir, ini sedikit sebanyak menjejaskan operasi pusat ini.

“Jambatan lama dulu agak rendah dan bawahnya sempit menyebabkan sampah terperangkap, mujurlah jambatan yang dibina ini lebih tinggi dan ruang bawahnya lebih besar,” tambah beliau.

Manakala, bagi K. SURESH, 45, pembaca meter air di Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang acap kali melalui kawasan itu memaklumkan bahawa pembinaan jambatan baharu tersebut membuatkan beliau berasa lebih selamat menggunakannya dengan beberapa ciri penambahbaikan.

“Saya sering kali menggunakan jambatan ini memandangkan bertugas di sekitar kawasan Teluk Bahang untuk mengambil bacaan meter air.

“Jambatan sekarang lebih luas, malah telah ditambah baik dengan laluan pejalan kaki, ini memberikan keselesaan dan lebih selamat kepada mereka memandangkan ia adalah jalan utama yang menghubungkan perumahan di sini dengan jalan besar,” ujarnya.

Difahamkan bahawa Kerajaan Negeri kini giat merangka projek Fasa 2 bagi mitigasi banjir di kawasan berkenaan melalui projek jambatan baharu menggantikan pembetung kotak di Jalan Hassan Abas.

Projek dalam fasa reka bentuk tersebut akan bermula pada suku pertama tahun 2021 yang mana dana sebanyak RM3.78 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI