Pembukaan semula Pasar Awam Mak Mandin 26 Julai

Admin

BAGAN JERMAL – Pembukaan semula Pasar Awam Mak Mandin yang sebelum ini dijadualkan esok 23 Julai ditangguhkan kepada 26 Julai ini.


Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal menegaskan pembukaan pada 23 Julai  tidak wajar memandangkan 22 Julai adalah tarikh saringan kedua bagi peniaga-peniaga di situ.

 

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) buat ujian saringan pertama COVID-19 pada 15 Julai, kalau ikut prosedur operasi standard (SOP) mereka perlu jalani saringan kedua pada 22 Julai.


“Sekiranya ujian kedua negatif mereka akan potong gelang pada 24 Julai, 25 buat persiapan jadi 26 baru boleh berniaga semula seperti biasa, kalau benarkan pada 23 Julai, peniaga masih dalam tempoh kuarantin sudah tentu tidak boleh berniaga,” ujar beliau dalam satu sidang media di Pasar Awam Mak Mandin di sini pagi tadi.


Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Ng Yee Siang dan Pengarah Bahagian Pelesenan MBSP, Mohd. Faidrol Mohd. Radzi.

 

Mengulas lanjut, Lip Chee menggesa pemilik tapak di pasar awam tersebut yang belum menjalankan ujian saringan untuk tampil secepat mungkin.

 

Dalam perkembangan lain, Lip Chee turut menggesa MBSP supaya melakukan proses pemutihan peniaga-peniaga di pasar berkaitan ekoran beberapa peniaga asal dipercayai telah menyewakan tapak kepada pihak ketiga.

 

“Senarai MBSP ada 62 orang penjaja di sini, tetapi yang tampil ke KKM dan dapat dihubungi adalah 44 orang sahaja.

 

“Baki 18 orang lagi kita tidak tahu mereka buat ujian saringan atau tidak, oleh itu saya cadangkan peniaga yang betul-betul berniaga di sini jika tidak buat ujian selepas 15 Julai, boleh hubungi pejabat saya di talian 012-4130362.

 

“Hari Isnin 26 Julai sekiranya penjaja tidak dapat buktikan mereka telah buat ujian dan negatif, maka mereka tidak akan dibenarkan berniaga di sini, ini bagi memastikan pasar yang di buka kelak adalah selamat,” tegasnya.

 

Serentak dengan tindakan tegas tersebut, Lip Chee percaya ia dapat memutihkan semula senarai peniaga-peniaga yang berniaga di Pasar Awam Mak Mandin agar diberikan kepada peniaga yang benar-benar ingin menjalankan perniagaan di situ sahaja.


Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI