Pemegang rekod ‘Malaysian Weightlifting Championship’, pendam harapan bertemu Ketua Menteri

NG Chow Seng menunjukkan salah satu sijil penghargaan yang diperoleh beliau sepanjang penglibatan dalam arena angkat berat.
NG Chow Seng menunjukkan salah satu sijil penghargaan yang diperoleh beliau sepanjang penglibatan dalam arena angkat berat.

JIKA dilihat susuk tubuh, pasti tidak menjangka yang beliau telah mencapai usia 77 tahun. Malah, sukan bukanlah sesuatu yang asing baginya terutama sukan angkat berat yang menjadi darah daging beliau sejak remaja lagi.

Dilahirkan pada 26 Disember 1935 di Kulim, Kedah, beliau masih aktif menyertai acara angkat berat dan yang terbaru berjaya merangkul pingat emas di ‘2011 International Weightlifting Federation World Masters Weightlifting Championship’ di Limassol, Cyprus. Ikuti temubual eksklusif wartawan Buletin Mutiara (BM), AINUL WARDAH SOHILLI dan jurugambar, MOHD. HAFIZ TAJUDIN bersama Ng Chow Seng di kediaman beliau di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam.

BM : Mungkin Encik boleh menceritakan serba sedikit tentang latar belakang dan pembabitan dalam sukan angkat berat ini?

Chow Seng : Saya mula menceburi bidang angkat berat seawal usia 14 tahun pada 1949 di Alor Setar di bawah jurulatih yang juga bekas johan angkat berat negara ketika itu, Saw Chee Seng. Pada tahun 1959, saya menyertai tentera dan berkhidmat selama 25 tahun dalam Kor Armor DiRaja sebagai ‘Warrant Officer II’. Tahun 1972, saya menyandang jawatan Jurulatih Kanan Jasmani dan Fizikal di Kem Terendak sehingga 1976.

Penyertaan awal saya dalam sukan angkat berat adalah pada tahun 1951, ‘Penang-Kedah Weightlifting Championship’ dalam kategori ‘Fly Weight’ dan kekal sebagai johan sehingga 1953. Malah, saya juga memegang gelaran ‘Mr. Weightlifter of Penang’ dua tahun berturut-turut pada 1958 dan 1959. Di peringkat antarabangsa pula, saya menyertai SEAP di Rangoon, Burma dan merangkul tempat ketiga dalam acara 80kg Press, 80kg Snatch dan 107.5kg Clean and Jerk bagi kategori Bantam Weight.

Pada usia 54 tahun, saya menyertai 4th World Masters Weightlifting Championship di Orlando, Florida dan merangkul tempat ketiga. Selain Florida, banyak lagi kejohanan angkat berat peringkat dunia yang saya sertai antaranya di England, Australia, Poland, Perancis dan Jerman.

BM : Selain sukan angkat berat, difahamkan Encik juga menyertai sukan tinju. Mungkin Encik boleh berkongsi sedikit sebanyak tentang pembabitan dalam sukan berkenaan.

Chow Seng : Pada 1963, saya ada menyertai kejohanan tinju iaitu 1st Federation Rejimental Boxing dalam kategori Light Weight dan muncul juara. Malah, saya mengekalkan kejuaraan untuk tiga tahun berturut-turut sehingga 1965.

BM : Apakah pencapaian atau pengalaman yang Encik tidak dapat lupakan?

Chow Seng : Bagi saya, ketika dinobatkan juara kejohanan di Limassol, Cyprus baru-baru ini. Pada usia 76 saya berjaya mengangkat 124kg menewaskan peserta dari Belarus, Eduard Zhyhalka dan Jerman, Abram Kilimik bagi kategori 75-79 tahun. Saya tidak dapat menahan air mata kegembiraan apabila lagu Negaraku berkumandang. Saya bangga kerana berjaya meletakkan satu tanda (penanda aras) dalam karier saya. Saya bangga kerana berjaya menjulang nama Malaysia.

BM : Apakah rahsia Encik kekal sihat sehingga hari ini?

Chow Seng : Apa yang penting dan asas bagi saya ialah disiplin yang ketat dan usaha tanpa henti. Sungguhpun pada Mac 2002 lalu saya menjalani pembedahan pintasan jantung, namun, sehingga hari ini, saya tidak punya masalah kesihatan. Saya juga mengambil suplemen tambahan yang menelan belanja hampir RM1,000.00 sebulan.

Selain itu, saya jaga waktu tidur saya. Tidur seawal jam 9.30 malam dan bangun 5.30 pagi setiap hari. Mungkin kerana saya telah terlatih sejak menyertai tentera dulu.

BM : Sempena Tahun Baru Cina, apakah impian atau ucapan yang Encik ingin sampaikan?

Chow Seng : Saya tidak minta wang ringgit, cukup sekadar pencapaian saya dihargai dan diketahui umum. Saya mempunyai mini galeri di sini (rumah) dan segala pencapaian saya direkod. Mungkin, jika berkesempatan saya ingin berjumpa dan bergambar bersama Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.