Pemeriksaan kesihatan percuma, bantu penduduk tahu status kesihatan diri

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

KEBUN BUNGA – Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Komuniti (JKKK) Ladang Hock Seng baru-baru ini mengadakan program pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada 150 penduduk setempat sekitar Mount Erskine di sini.

Melalui program tersebut, Zairil berharap penduduk khususnya warga emas dapat mengetahui status kesihatan masing-masing serta dapat kembali mengamalkan gaya hidup sihat sebelum terlambat.

“Antara pemeriksaan utama yang dijalankan ialah berkenaan kencing manis (diabetes) yang sering dihidapi oleh orang Malaysia khususnya warga emas.

“Melalui pemeriksaan percuma ini, lapisan masyarakat di sini hanya perlu menghadirkan diri untuk jalani pemeriksaan dalam mengesan kehadiran diabetis.

“Jika yang sudah ada penyakit diabetis, pemeriksaan ini diharap dapat membantu individuindiividu berkaitan mengawal bacaan paras gula di dalam darah,” katanya kepada pemberita pada program komuniti tersebut di Balai Raya Ladang Hong Seng.

Pada majlis sama, Zairil turut menyantuni serta berkongsi nasihat dengan para peserta program mengenai kaedah memulakan amalan hidup sihat secara mudah dan berterusan.

Selesai program itu, Zairil turut meluangkan masa melawat komuniti Ladang Hong Seng di tempat tumpuan khalayak, seperti kedai makan sempena hujung minggu.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Syerleena Abdul Rashid.