ADUN seru mutu aksesibiliti untuk OKU ditingkatkan

GEORGE TOWN – Aksesibiliti atau kebolehcapaian golongan orang kurang upaya (OKU) perlu ditingkatkan bagi memudahkan pergerakkan golongan berkaitan terutama ketika berurusan di bangunan-bangunan kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey yang juga merupakan Pengerusi Kumpulan Tindakan Akses Pulau Pinang (PAAG) berkata, aksesibiliti adalah penting dan perlu ditingkatkan khususnya kemudahan-kemudahan awam sedia ada.

“OKU juga adalah sebahagian daripada masyarakat yang mempunyai kehidupan sendiri sama seperti orang lain.

“Sekiranya kemudahan awam yang disediakan tidak mesra OKU, maka mereka (golongan OKU) akan berasa takut untuk keluar kerana tidak boleh bergerak bebas melakukan pelbagai urusan.

“Oleh itu, mutu aksesibiliti perlu ditingkatkan di semua tempat,” katanya ketika hadir pada Majlis Penutupan Bengkel Aksesibiliti OKU di sini baru-baru ini.

Selain kehadiran wakilwakil pihak berkuasa tempatan (PBT), bengkel selama tiga hari tersebut turut dihadiri wakilwakil persatuan dan rumah kebajikan OKU seluruh Pulau Pinang termasuk dua fasilitator berpengalaman dari Singapura.

Soo Huey dalam pada itu, menyeru agar semua pihak sepatutnya memandang serius isu aksesibiliti golongan OKU bagi mengekang sebarang kesulitan yang dihadapi golongan istimewa berkenaan.

“Memang saya ada menerima keluhan golongan tersebut yang terpaksa berdepan dengan cabaran menjalani aktiviti kerana tiada kemudahan akses yang sesuai.

“Namun, kita (Kerajaan Negeri) beri semangat kepada mereka dan meneruskan usaha memperjuangkan hak OKU dalam masyarakat termasuk menyediakan akses di bangunanbangunan dan kemudahan awam,” ujar beliau.