Pemetaan budaya Cherok Tok Kun perkukuh warisan komuniti, pacu potensi ekopelancongan

Admin
img 20260502 wa0073

MACHANG BUBUK – Program Komuniversiti Innovation Lab 2026: Pemetaan Budaya Cherok Tok Kun yang berlangsung dari 24 hingga 26 April lalu di Sekolah Kebangsaan Juara dekat sini, berjaya memperkukuh usaha pemeliharaan warisan komuniti setempat selain membuka ruang kepada pembangunan ekopelancongan berasaskan identiti kampung.

 

Program anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Machang Bubuk dengan kerjasama Arts-ED, mahasiswa Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Cherok Tok Kun itu merupakan edisi kedua selepas penganjuran pertama pada November 2025.

 

Kali ini, program tersebut tampil dengan pendekatan lebih mendalam menerusi konsep ‘balik kampung’ yang menekankan penglibatan langsung komuniti dalam proses dokumentasi warisan tempatan.

img 20260502 wa0074
LEE Khai Loon turut hadir pada program Komuniversiti Innovation Lab 2026: Pemetaan Budaya Cherok Tok Kun di sini.

 

ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon berkata, seramai 40 mahasiswa terlibat dalam program berkenaan, termasuk 10 peserta terdahulu dan 30 peserta baharu dari pelbagai negeri seperti Selangor, Perak, Kelantan, Terengganu dan Johor.

 

Menurut beliau, para peserta ditempatkan bersama 11 keluarga angkat bagi membolehkan mereka memahami kehidupan komuniti setempat secara lebih dekat dan menyeluruh.

 

“Melalui pendekatan ini, para mahasiswa bukan sahaja menjalankan kajian lapangan, tetapi turut berinteraksi secara dekat dengan komuniti bagi memahami sejarah, budaya dan identiti Cherok Tok Kun secara menyeluruh,” katanya.

img 20260502 wa0078

Jelas beliau, fokus utama program tersebut adalah kepada pemetaan budaya yang merangkumi elemen budaya ketara seperti bangunan serta lokasi bersejarah, selain budaya tidak ketara termasuk kisah komuniti, tokoh tempatan dan amalan sosial setempat.

 

“Sepanjang program berlangsung, mahasiswa dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menjalankan kajian lapangan dengan bimbingan fasilitator MPKK Cherok Tok Kun serta sokongan kepakaran daripada Arts-ED yang turut merangka keseluruhan konsep dan metodologi program.

 

“Antara pendekatan utama yang digunakan termasuk pemetaan keluarga angkat bagi memahami struktur sosial dan kehidupan komuniti, pemetaan garis masa untuk mendokumentasikan sejarah serta perkembangan kawasan, selain pemetaan lokasi fizikal dan individu melibatkan tempat penting, tokoh kampung serta tinggalan sejarah di sekitar Cherok Tok Kun.

 

“Turut diberi perhatian adalah laluan akses ke Bukit Mertajam dan Bukit Seraya melalui Cherok Tok Kun yang dilihat mempunyai nilai sejarah dan potensi pelancongan tersendiri,” ujarnya.

img 20260502 wa0075

Tambah Khai Loon lagi, majlis penutup program diadakan dalam suasana ‘Kenduri Rakyat’ apabila para mahasiswa membentangkan hasil dapatan mereka kepada komuniti setempat termasuk penduduk kampung, MPKK, keluarga angkat dan pemimpin tempatan.

 

“Hasil daripada program ini dijangka menjadi asas penting kepada pembangunan projek pemetaan budaya Cherok Tok Kun yang boleh dijadikan rujukan dalam usaha pemeliharaan warisan tempatan serta pembangunan komuniti berasaskan identiti setempat,” katanya.

 

Mengulas mengenai potensi kawasan tersebut, Khai Loon berkata bahawa Cherok Tok Kun mempunyai kelebihan tersendiri termasuk keindahan Bukit Tokun dan Bukit Seraya, keunikan makanan tempatan seperti mi sup ketam, serta tarikan bermusim seperti durian yang mampu menyumbang kepada aktiviti pelancongan komuniti.

 

“Cherok Tok Kun mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan serta konsep inap desa seperti di Mengkuang Titi, yang membolehkan pelawat merasai pengalaman kehidupan bersama komuniti setempat,” jelasnya.

img 20260502 wa0071

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan pembangunan kawasan luar bandar perlu disokong dengan infrastruktur asas yang mencukupi memandangkan kawasan tersebut masih berdepan cabaran seperti jalan sempit dan kesesakan trafik.

 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Cherok Tok Kun amat bertuah apabila dipilih sebagai ‘Kampung Angkat Madani’.

 

Dengan sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan sektor swasta, beliau yakin Cherok Tok Kun berpotensi berkembang sebagai destinasi rekreasi dan gaya hidup santai yang berteraskan komuniti.

 

Gambar : ADUN