Pemilihan DAP: Undi dalam talian sukar dilaksana kerana tertakluk perlembagaan Persekutuan

Admin

GEORGE TOWN – Proses pengundian secara dalam talian bagi pemilihan Parti Tindakan Demoktarik (DAP) pada Kongres Kebangsaan ke-17 yang dijadualkan berlangsung 20 Mac ini sukar dilaksanakan kerana ia tertakluk kepada perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa beberapa pindaan Rang Undang-undang (RUU) perlu dilakukan sebelum kaedah tersebut dapat dilaksanakan.

“Walaupun parti (DAP) mahu adakan undian secara digital (dalam talian) tetapi kaedah itu tidak dibenarkan mengikut perlembagaan Persekutuan.

“Proses pendigitalan dalam parti politik sebenarnya sangat mencabar, dan kerajaan Persekutuan juga perlu melakukan beberapa pindaan undang-undang serta peraturan bagi membolehkan pemilihan parti politik dijalankan melalui platform dalam talian.

“Oleh itu, secara asasnya ahli-ahli DAP perlu hadir secara fizikal pada kongres untuk memilih pucuk pimpinan yang baharu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama dalam SME CEO Forum anjuran Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Sementa) dekat SPICE Convention Centre di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita mengenai sama ada DAP berhasrat untuk melaksanakan pemilihan secara dalam talian selaras dengan hasrat negeri Pulau Pinang yang mahu meningkatkan pendigitalan di negeri ini.

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, pemilihan parti itu juga bakal menyaksikan sekurang-kurangnya dua perubahan besar membabitkan barisan pucuk pimpinan dan pertukaran Setiausaha Agung.

“Saya fikir biarlah perwakilan yang memutuskan pasukan pimpinan yang mereka perlukan untuk membawa parti terus bergerak ke hadapan dalam menghadapi cabaran situasi politik semasa,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata bahawa sebanyak 30 peratus kuota bagi Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC) akan diberikan kepada wanita dalam pemilihan kali ini.

“Justeru, kita akan menyaksikan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam jawatankuasa tertinggi kebangsaan DAP,” ulasnya lanjut.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.

“Di bawah perlembagaan Negeri dan Persekutuan telah menggariskan bahawa Kerajaan Negeri berhak memutuskan bilakah pilihan raya hendak dipanggil dan tidak perlu mengikut pilihan raya umum di peringkat nasional.

“Jadi, Kerajaan Negeri akan membuat keputusan kita sendiri mengenai perkara ini,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD