Pemilik rumah bersemak masih hutang MPSP RM44 ribu

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ

P E G A W A I MPSP sedang membersihkan k a w a s a n perumahan yang dipenuhi semak samun di sini barubaru ini
PEGAWAI MPSP sedang membersihkan kawasan perumahan yang dipenuhi semak samun di sini baru-baru ini

SEBERANG PERAI‘Task Force’ Semak Samun yang ditubuhkan pada tahun 2009 oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kini telah ditukar dengan cara yang lebih berkesan iaitu bukan sahaja mengendali masalah semak samun, malah, turut merangkumi penggredan kawalan makanan dan kawalan vektor serta serangga.

Menurut Pengerusi ‘Task Force’ Semak Samun, Soon Lip Chee, skop pasukan bertindak berkenaan ditukar kepada skop lebih meluas bagi mengatasi masalah semak samun yang kian berleluasa terutama di kawasan-kawasan perumahan.

“Walaupun kompaun telah dinaikkan, namun, masalah dilihat semakin meruncing ekoran pemilik premis memandang remeh perkara berkenaan. Didapati, ramai pemilik yang memiliki lebih dari satu unit rumah mengabaikan aspek kebersihan,” ujar Lip Chee kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Kata Lip Chee, faktor tersebut merupakan penyebab utama semak samun mengelilingi kawasan perumahan sekaligus menimbulkan rasa khuatir dalam kalangan jiran tetangga.

“Ekoran itut, pihak MPSP akan membuat pemeriksaan mengejut di kawasan perumahan termasuk tanah kosong. Jika didapati pemilik gagal menjaga kebersihan kediaman, notis akan dikeluarkan yang mengarahkan supaya pemilik membersihkan kediaman dalam masa tiga atau tujuh hari.

“Selepas itu, jika pemilik masih gagal untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan, pihak MPSP berhak untuk memasuki kediaman untuk membersihkan semak samun, manakala, kos pembersihan akan ditanggung oleh pemilik kediaman,’’ tegasnya.

Ujarnya lagi, jika didapati pemilik masih enggan untuk membayar kos pembersihan, pihak MPSP tidak akan teragak-agak untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah MPSP untuk dibicarakan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Sehingga kini, kira-kira RM44,000 jumlah kos pembersihan dan kompaun yang masih belum dijelaskan oleh pemilik-pemilik kediaman di sini. Kami memohon kerjasama semua pihak supaya bersama-sama menjaga kebersihan kediaman masing-masing bagi mengurangkan masalah pencemaran yang semakin berleluasa kini,” tambah Lip Chee.