Temuduga isi 495 kekosongan TPS

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

SESI temuduga sedang dijalankan oleh Ahli Majlis, Ramlah Bee Asiahoo (duduk kanan) dan L. Prem Anand (duduk,dua dari kiri) bersama pemohon yang hadir di Bahagian Perlesenan MPPP, di sini baru-baru ini.
SESI temuduga sedang dijalankan oleh Ahli Majlis, Ramlah Bee Asiahoo (duduk kanan) dan L. Prem Anand (duduk,dua dari kiri) bersama pemohon yang hadir di Bahagian Perlesenan MPPP, di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Sebanyak 285 pemohon bagi mengisi kekosongan gerai Tapak Penjaja Sementara (TPS) di seluruh kawasan pulau telah membanjiri Bahagian Perlesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) seawal pukul 8 pagi bagi sesi temuduga yang diatur sebelum ini di sini.

Sesi temuduga bersama 12 Ahli Majlis MPPP antaranya membabitkan 14 buah kompleks, 11 pasar dan 13 tapak penjaja sementara.

Menurut Ahli Majlis MPPP, Ong Ah Teong, pada tahun 2011, hanya lapan sesi temuduga dijalankan bagi proses saringan mengisi tapak penjaja yang kosong.

Namun, tahun ini (2012), pihak Majlis bercadang melaksanakannya pada setiap bulan tertakluk kepada jumlah kekosongan yang ada.

Tambah beliau, proses temuduga dan pemilihan dijalankan berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

“Kita tidak mahu melengahkan masa, maka, pada hari tersebut juga, selepas proses temuduga selesai, kita (ahli-ahli majlis) duduk berbincang dan memilih pemohon yang layak berdasarkan kriteria-kriteria telah ditetapkan. Malah, surat juga telah dihantar kepada pemohon berjaya.

“Lanjutan itu, mereka yang berjaya juga telah dipanggil untuk proses cabutan undi. Ianya telah dijalankan di sini baru-baru ini pada 8 dan 9 Mac agar tiada pertikaian yang wujud dan lebih bersifat adil kepada semua,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Sementara itu, ujar Ah Teong, kepada pemohon yang gagal, mereka masih boleh memohon semula pada proses temuduga akan datang pada 29 March 2012.

“Tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka yang telah menghadiri temuduga tetapi gagal. Sebaliknya, mereka harus melalui semula proses temuduga sehingga berjaya,” katanya.