Pemindahan ke lokasi baru, MPSP dapatkan maklum balas – YDP

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bercadang memindahkan Pasar Awam Bukit Mertajam ke lokasi baru, dekat Jalan Pegawai di sini.

Mengulas lanjut, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu, setakat ini, pihaknya baru mendapatkan maklum balas lanjut daripada penjaja-penjaja berwajib sahaja, mengenai cadangan tersebut.

“Setakat ini baru minta pandangan,” respons Rozali kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Penuh Majlis di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Rozali memberitahu, Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri telah meluluskan RM20 juta untuk pemajuan sebuah pasar awam baru.

“Jadi, sebelum kita (MPSP) membuat penyediaan pelan, kita (MPSP) minta pendapat mereka (penjaja Pasar Awam Bukit Mertajam) dahulu,” jelasnya.

Tambah beliau, hasil kajian lapangan City of Yokohama dalam menyiapkan pelan reka bentuk semula bandar Bukit Mertajam terhadap penduduk tempatan antara lain bersetuju dengan pemindahan Pasar Awam Bukit Mertajam tersebut.

Pada Februari 2016, MPSP bersetuju untuk saling bekerjasama dengan City of Yokohama, Jepun, dan Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity) serta beberapa agensi lain dalam menyediakan pelan reka bentuk semula bandar lama tersebut.