MBPP perkenal garis panduan baharu perniagaan arena sukan elektronik, pusta siber dan kafe siber

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini sedang memperincikan garis panduan baharu kepada pengusaha perniagaan arena sukan berelektronik, pusat siber dan kafe siber di bawah pentadbirannya.

Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang berkata, langkah tersebut diambil bagi menyediakan pendekatan melaksanakan pengawalan ke atas perniagaan berkaitan yang mana ianya bakal merangkumi kaedah pengurusan, aktiviti yang dibenarkan, masa dan kawasan operasi, larangan-larangan serta syarat-syarat am reka bentuk yang perlu dipatuhi.

“Aktiviti arena sukan elektronik, pusat siber dan kafe siber ini dihadkan kepada aktiviti pengendalian kemudahan komputer untuk tujuan sukan elektronik, melayari internet, perkhidmatan perisian dan perkhidmatan lain yang berkaitan.

“Bagi aktiviti permainan dalam talian (online game) atau server game, ia adalah dibenarkan dengan mematuhi undang-undang bertulis lain yang terpakai di Malaysia.

“Pemegang lesen pusat-pusat ini hendaklah bertanggungjawab memastikan tiada sebarang aktiviti tidak bermoral berlaku dalam premis sepanjang masa operasi,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis di sini 28 Jun lalu.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali.

Pelesenan premis arena sukan elektronik, pusat siber dan kafe siber adalah tertakluk kepada Undang-undang Kecil yang dikuatkuasakan oleh MBPP.

Mengulas lanjut, Tung Seang menjelaskan bahawa ketigatiga jenis pusat berkaitan hanya boleh beroperasi dari 7 pagi hingga 12 tengah malam sahaja, dan sekiranya pengusaha ingin beroperasi melebihi jam 12 tengah malam, mereka (pengusaha) hendaklah mengemukakan permohonan bertulis kepada MBPP.

“Arena sukan elektronik, pusat siber dan kafe siber hanya akan dibenarkan beroperasi di kawasan kompleks perniagaan, rumah kedai/kedai pejabat (tingkat bawah dan tingkat satu sahaja) dan premis binaan sendiri di kawasan luar bandar (kelulusan Permit Sementara).

“Pusat ini tidak dibenarkan beroperasi berhampiran kawasan sensitif seperti rumah ibadat dan kawasan lain yang ditetapkan MBPP,” jelasnya sambil menyatakan bahawa MBPP berhak membatalkan lesen perniagaan sekiranya pengusaha membuat perlanggaran syarat atau larangan lain melebihi tiga kali setahun.