Pemuliharaan pokok warisan, MBPP perlu tambah arboris dan penggunaan alat resistograph

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) perlu menambahkan bilangan arboris atau pakar dalam penjagaan tumbuhan berkayu dan kesihatan pokok yang bertauliah bagi memastikan penjagaan pokok-pokok warisan di negeri ini kekal terpelihara.

Ahli Majlis MBPP, R. Kaliyappan berkata penambahan arboris bertauliah dan bantuan penggunaan alatan khas, resistograph mampu meningkatkan kecekapan Majlis dalam memelihara serta memulihara pokok-pokok di kawasan pulau.

Jelasnya, kini MBPP hanya mempunyai dua arboris bertauliah dan satu alatan resistograph sahaja buat masa kini.

“Pada hemah saya, Majlis memerlukan sekurang-kurangnya 10 arboris bertauliah dan dua resistograph bagi memantau, memeriksa dan mencatas pokok-pokok yang berisiko tumbang lebih awal.

“Majlis mestilah membuka lebih penjawatan arboris bertauliah dalam usaha kita untuk memelihara dan memulihara pokok-pokok dengan lebih baik, sekali gus mengurangkan risiko jangka panjang membabitkan kerosakan harta benda atau kehilangan nyawa,” ujarnya ketika berucap pada Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) yang bersidang tadi pagi.

Turut serta, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar Yew Tung Seang; Dato’ Addnan Mohd. Razali (Setiausaha Bandaraya) dan Ahli-Ahli Majlis yang lain secara telesidang.

Mengulas lanjut, Kaliyappan memaklumkan bahawa satu alat resistograph hanya mampu melakukan pemeriksaan ke atas kira-kira 58 batang pokok sahaja, justeru Majlis memerlukan lebih alat tersebut.

“Kadar pemeriksaan resistograph ini amat rendah berbanding dengan statistik pokok yang kita (Pulau Pinang) ada iaitu sekitar 40,000.

“Serentak itu, saya menyarankan agar MBPP menambah bilangan arboris bertauliah, alatan resistograph sedia ada dan melantik sebuah lagi syarikat (berbanding satu syarikat sedia ada) untuk membantu dalam melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan pokok di seluruh kawasan pulau,” ujarnya.

Menyokong idea sama, Ahli Majlis, Lim Khim Noor turut menyarankan agar Majlis mewujudkan satu akaun khas yang dikenali sebagai ‘Akaun Hijau’ bagi memelihara dan memulihara pokok-pokok di kawasan pulau.

“Segala sumbangan yang dihulurkan oleh Kerajaan Negeri, badan bukan kerajaan (NGO) ataupun publik dapat dikumpulkan di akaun ini bagi kegunaan pemeliharaan pokok di masa depan.

“Malah, hasil daripada penjualan batang-batang pokok tua atau rosak yang telah dicantas dan dipotong boleh juga dikumpulkan dalam akaun sama,” ulasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS