Penaga, Teluk Bahang dan Penanti antara lokasi berisiko, Kerajaan Negeri perkukuh usaha banteras dadah

Admin
img 20261104 wa0028

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi menangani lokasi berisiko tinggi berkaitan penyalahgunaan dadah, termasuk di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga, Teluk Bahang dan Penanti.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pendekatan bersepadu itu turut disokong melalui peruntukan khas Kerajaan Negeri kepada AADK bagi melaksanakan program komuniti dan meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

“Usaha ini bukan sahaja tertumpu kepada penguatkuasaan, malah merangkumi bantuan kepada individu yang terlibat dalam penagihan serta sokongan kepada skuad AADK dan golongan belia untuk melaksanakan program bermanfaat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Yusni Mat Piah, sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini, sebentar tadi.

Mengulas situasi di Mukim 4, Penaga, Zi Sen berkata bahawa tiada pusat pengedaran dadah utama dikesan di kawasan berkenaan setakat ini.

Walau bagaimanapun, katanya, pemantauan berterusan dilaksanakan bagi menangani pergerakan individu berisiko yang mendapatkan bekalan dadah dari kawasan luar.

Berdasarkan rekod semasa AADK Seberang Perai Utara (SPU), seramai 25 individu direkodkan sebagai penagih dadah berdaftar di Mukim 4, dengan 11 daripadanya merupakan penagih berulang.

Jumlah itu mewakili 3.8 peratus daripada keseluruhan Orang Kena Pengawasan (OKP) di SPU.

Menurut Zi Sen, ciri geografi Mukim 4 yang mempunyai kepadatan penduduk rendah serta sebahagian besarnya terdiri daripada kawasan pertanian dan sawah padi perlu diambil kira dalam merangka intervensi pencegahan, rawatan dan pemulihan yang lebih bersasar.

Dalam usaha membanteras penyeludupan ketum di SPU pula, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang melaksanakan operasi khas setiap bulan menerusi Ops Tapis Khas (OTK).

“Operasi tersebut berjaya menumpaskan sindiket yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan, pemprosesan dan penjualan air ketum.

“Rampasan berskala besar, termasuk ratusan kilogram daun ketum serta peralatan pemprosesan, menunjukkan bahawa tindakan penguatkuasaan turut menyasarkan rangkaian pengedaran dan bukan sekadar pengguna.

“Rampasan daun ketum mentah, air ketum siap diproses serta peralatan memasak dan pembungkusan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” jelasnya.

Zi Sen menegaskan bahawa kerjasama antara agensi penguatkuasaan, komuniti dan golongan belia perlu terus diperkukuh bagi memastikan usaha membanteras penyalahgunaan dadah di lokasi berisiko dapat dilaksanakan secara menyeluruh, sekali gus memperluas akses kepada pencegahan dan pemulihan.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT