Penajaan harap galak belia sertai sukan tenis

Oleh: AHMAD ARAFAT ESAH


GELUGOR – Penganjuran terbesar kejohanan 30th Penang Open International Junior’s Age Group Tennis Championship 2013 menerima suntikan dana sebanyak RM35,000 daripada Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng berkata, kejohanan selama lima hari yang memperlihatkan 15 kategori dipertandingkan adalah kejohanan terbesar dianjurkan dalam negara setakat ini.

“Seramai 155 peserta dari lebih 13 negara seluruh dunia dan 248 peserta dari 12 negeri dalam negara menyertai kejohanan ini.

“Justeru, bagi menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti sukan seperti ini, Kerajaan Negeri telah menyumbangkan sebanyak RM35,000 bagi menjayakan program tersebut,’’ katanya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Pada kejohanan tersebut, juara kategori Lelaki Perseorangan 10 Tahun dan ke bawah adalah Sim Woohyuk dari Korea; juara kategori Lelaki Perseorangan 12 Tahun dan ke bawah, Homin Kwang (Korea); juara kategori Lelaki Perseorangan 14 Tahun dan ke bawah, Sherzodbek Radjabov (Uzbekistan), juara kategori Lelaki Perseorangan 16 Tahun dan ke bawah, Linh Giong Trinh (Vietnam).

Juara kategori Perempuan Perseorangan 10 Tahun dan ke bawah, Boyoung Jeong (Korea), juara kategori Perempuan Perseorangan 12 Tahun ke bawah, Seoyoung Kim (Korea), juara kategori Perempuan Perseorangan 14 Tahun dan ke bawah, Maja Gledic (Russia), juara kategori Perempuan Perseorangan 16 Tahun dan ke bawah, Michelle Li Sha Khoo (Malaysia).

Dalam pada itu, Naib Pengerusi 2 Persatuan Lawn Tenis Pulau Pinang, Ong Hock Keat berkata, kejohanan berkenaan memberi pengalaman serta meningkatkan prestasi pemain tenis junior dalam negara khususnya untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Saya melahirkan rasa berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sudi menaja kejohanan ini,’’ ujar beliau.