Pupuk kesedaran keselamatan di awal usia

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Bagi menerapkan kesedaran keselamatan jalanraya dalam kalangan kanak- kanak, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), G Club mengambil inisiatif khas menganjurkan program sedemikian di sini baru- baru ini.

Pengerusi G Club, Jason Ong berkata, anjuran program Bengkel Keselamatan Jalanraya Kanak- kanak adalah menyasarkan golongan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

“Pada hari penganjuran, kumpulan kanak-kanak terbabit diberi peluang menunggang basikal dan mempelajari selok-belok keselamatan jalanraya di Taman Lalulintas MPPP yang terletak di Datuk Keramat di sini.

“Kanak-kanak tersebut dikehendaki menunggang basikal dengan mengikut undang-undang yang terdapat di laluan ini,” ujarnya pada penganjuran tersebut di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu.

Turut menjayakan program berkenaan adalah Polis diRaja Malaysia (PDRM).

Mengulas lanjut, Jason menyatakan bahawa faktor pemilihan umur para peserta adalah berasaskan kajian yang menyatakan bahawa lingkungan usia tersebut merupakan waktu terbaik untuk memupuk keselamatan jalanraya dalam kalangan kanak-kanak.

Dalam pada itu, seorang peserta, Lim Ai Hoon, 12, berkata, beliau amat gembira apabila mendapat pendedahan keselamatan sebagaimana dianjurkan.

“Saya amat gembira kerana dapat menggunakan peluang cuti sekolah seperti ini untuk meningkatkan ilmu tentang keselamatan di jalan raya,” jelasnya.